Berita Utama

Amanah terkejut BN letak calon di DUN Tepuh

Bercanggah dengan keputusan mesyuarat, langsung tak rujuk wakil parti sebelum umum

BANGI, 5 Muharam 1445H, Ahad – Parti Amanah Negara (Amanah) terkejut apabila Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, 12 Ogos depan.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pengumuman dibuat BN pada Jumaat lalu ternyata bercanggah dengan keputusan yang dimuktamadkan sebelum ini.

Memetik laporan Utusan Malaysia, beliau berkata, kerusi DUN Tepuh adalah milik Amanah selepas dipersetujui BN dan diputuskan dalam Mesyuarat Sekretariat Perpaduan pada Mei lalu.

“Bila tiba-tiba kita dengar ada calon BN bertanding di situ dalam majlis pengumuman di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada malam Jumaat lalu, memang rasa terkejutlah.

“Bukan sahaja pemimpin dan penyokong Amanah terkejut, ahli UMNO pun terkejut dengan pengumuman itu kerana bercanggah dengan keputusan yang telah dimuktamadkan sebelum ini,” katanya.

Raja Kamarul berkata, pihaknya masih berpegang teguh dengan keputusan asal yang memberikan tiga kerusi DUN kepada Amanah untuk PRN kali ini.

Katanya, selain Tepuh, parti itu turut diberikan kerusi DUN Batu Buruk di Parlimen Kuala Terengganu dan Ru Rendang di Parlimen Marang.

Beliau berkata, Amanah Terengganu menyerahkan kepada pihak pimpinan tertinggi parti untuk mengambil langkah seterusnya berkait isu kerusi DUN berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Amanah akan mengumumkan calon bagi DUN Tepuh, Raja Kamarul Bahrin berkata, senarai calon bertanding dalam PRN enam negeri akan diumumkan Presidennya, Mohamad Sabu dalam tempoh terdekat.

Setakat ini, beliau yang juga pengerusi PH Terengganu seperti dilapor Sinar Harian berkata, tidak boleh dikatakan berlaku pertindihan kerusi di DUN Tepuh.

“Kalau nak tanya satu persatu, saya boleh katakan dengan tepatnya, setahu kita perjanjian terakhir antara kita dengan UMNO (PH dan BN) yang dipersetujui oleh UMNO adalah Tepuh diberikan kepada Amanah.

“Dalam isu ‘pemulangan’ kerusi ini sebenarnya tiada dan tidak berlaku kerana kita tidak ‘dirujuk’ langsung. Kita tak kata ada pertindihan, tapi tunggulah pengumuman presiden kita sehari dua lagi,” katanya.

Beliau berkata, walaupun UMNO mengumumkan calonnya di DUN Tepuh, perubahan boleh berlaku sebelum hari penamaan calon 29 Julai ini.

Pada PRU14, DUN Tepuh dimenangi calon PAS, Hishamuddin Abdul Karim dengan 10,728 undi menewaskan calon BN, Basir Ismail yang meraih 8,065 undi dan calon PKR, Wan Hafizie mendapat 1,002 undi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button