Denmark kecam tindakan pelampau bakar al-Quran
Kementerian sifatkan Patriot Denmark memalukan, tak hormat agama lain

COPENHAGEN, 5 Muharam 1445H, Ahad – Denmark mengecam tindakan provokatif membakar al-Quran dan menyifatkannya sebagai perbuatan memalukan yang tidak menghormati agama lain.
Kementerian Luar Denmark berkata, tindakan provokasi itu menyakitkan hati ramai pihak dan mewujudkan perpecahan antara agama serta budaya yang berbeza.
“Walaupun wujud kebebasan beragama di Denmark, ramai warga Denmark yang beragama Islam.
“Mereka adalah sebahagian daripada penduduk Denmark yang dihargai,” kata kementerian dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitter pada Sabtu.
Menurut kementerian, negara itu percaya kebebasan bersuara dan berhimpun mesti dihormati dan menegaskan Denmark menyokong hak untuk membantah tetapi menekankan bahawa ia mesti kekal aman.
Jumaat lalu, ahli kumpulan nasionalis Islamofobia dan sayap kanan, Patriot Denmark bertindak biadab membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Iraq di Copenhagen.
Awal minggu ini juga, pelarian Iraq, Salwan Momika yang tinggal di Sweden bertindak memijak dan menendang al-Quran, hanaya beberapa minggu selepas dia membakar halaman kitab suci itu di luar masjid Stockholm.
Manakala pada Januari lalu, seorang pemimpin sayap kanan Denmark, Rasmus Paludan membakar senaskhah al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm. Insiden itu mencetuskan kemarahan dan kecaman di seluruh dunia Islam.
Mahkamah Turkiye telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Paludan berikutan perbuatan itu di atas tuduhan menghina nilai agama secara terbuka.
Sebagai sebahagian daripada siasatan, Pejabat Ketua Pendakwa Raya meminta Paludan ditahan bagi mendapatkan kenyataan berhubung kejadian membakar al-Quran itu.
Mahkamah Keamanan Jenayah Ke-8 Ankara setelah menilai permohonan itu memutuskan untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas ahli politik Denmark terbabit. – Agensi