Kakitangan Kedutaan Sweden di Baghdad pulang ke Stockholm
Ambil kira faktor keselamatan susulan insiden bakar al-Quran

BAGHDAD, 5 Muharam 1445H, Ahad – Kakitangan Kedutaan Sweden di Baghdad kembali ke Stockholm pada Jumaat selepas bangunan kedutaan itu diserang penunjuk perasaan yang marah terhadap insiden pembakaran al-Quran.
Tindakan itu diambil atas faktor keselamatan selepas beberapa penunjuk perasaan menyerbu kedutaan dan membakarnya, dedah media Iraq.
Bagaimanapun, tiada butiran terperinci mengenai tahap kerosakan.
Khamis lalu, Iraq mengusir duta Sweden sebagai protes terhadap rancangan pembakaran al-Quran yang mendorong ratusan penunjuk perasaan berkumpul berhampiran Kedutaan Sweden di Baghdad.
Jurucakap Kementerian Luar Sweden mengumumkan pada Jumaat bahawa kakitangan dan operasi akan berpindah sementara ke Stockholm atas sebab keselamatan, tetapi enggan memberikan penjelasan lanjut. – Agensi