Pemergian Salahuddin membekas, rakan terdekat hiba
Menteri KPDN dihormati kawan dan lawan, laksana amanah dengan cemerlang

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 6 Muharam 1445H, Isnin – Perasaan dukacita disulami hiba mengiringi pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.
Penganalisis politik yang juga salah seorang rakan terdekat Allahyarham sejak 25 tahun lalu, Shahbudin Embun mengakui Salahuddin adalah pemimpin yang sangat konsiten dengan perjuangannya.
Beliau tidak berkompromi dan sentiasa tegas dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.
“Sejak dia terlibat dengan politik, Allahyarham boleh dikatakan sebagai seorang gentleman politik dan sentiasa dihormati kawan dan lawan.
“Keazaman dan komitmen Allahyarham sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Allahyarham sangat komited dalam melakukan perubahan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berintegriti, mampu mengawal segala salah laku serta penyalahgunaan kuasa.
“… dan sebagai menteri, Allahyarham telah melaksanakan tugas dengan begitu cemerlang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Shahbudin berkata, bagi Salahuddin, kesejahteraan rakyat khasnya bagi mereka yang miskin, sentiasa akan diberikan perhatian utama.
“Hal ini dapat dibuktikan dengan program Rahmah yang diusahakan oleh KPDN yang diketuai oleh beliau. Allahyarham sentiasa berusaha dan bekerja kuat dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan,” katanya.
Shahbudin turut menceritakan pengalaman peribadi beliau dalam menerima bakti secara langsung daripada Salahuddin semasa dalam kesusahan.
“Dalam kesibukan beliau sebagai menteri, Allahyarham sentiasa ada masa untuk menyantuni sahabat-sahabatnya yang dalam kesusahan.
“Saya sendiri dapat merasai keprihatinan Allahyarham yang sempat melawat saya pada Rabu lepas ketika saya berada di Institut Jantung Negara (IJN) untuk prosedur perubatan jantung saya yang kritikal.
“Bantuan daripadanya membantu mempercepat proses meletakkan sten dalam jantung saya,” katanya.
Pada kesempatan sama, Shahbudin mengucapkan takziah kepada keluarga Salahuddin.
“Kepada ahli keluarga Allahyarham, bertabahlah dengan segala yang berlaku. Semoga Allah melimpahi rahmah dan keampunan buatmu sahabat sejatiku. Al-Fatihah,” katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggal dunia jam 9.23 malam tadi di HSB Alor Setar, Kedah.
Jumaat lalu, beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dikejarkan ke HSB pada jam 10.15 malam selepas mengalami muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Allahyarham kemudian menjalani pembedahan pada hari Sabtu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun ditidurkan dan dipantau rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU).