Tak tahu malu ke? Netizen kecam Kit Siang biadab eksploitasi kematian Salahuddin demi PRN
‘Kerja gila menunggang kematian rakan sendiri untuk raih undi’

BANGI, 6 Muharam 1445H, Isnin – Pengguna media sosial mengecam tindakan tidak beradab veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang memperguna pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai modal politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kit Siang seperti yang dipetik dalam blognya hari ini berkata, “Let’s dedicate the six state polls on August 12 to Salahuddin Ayub to further his vision of greater political stability and national unity in Malaysia so that the country can rise again and become a world-class great nation punching above its weight.”
“Mari kita dedikasikan enam Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos kepada Salahuddin Ayub untuk memajukan wawasannya dalam kestabilan politik yang lebih kukuh dan perpaduan nasional di Malaysia supaya negara dapat bangkit semula dan menjadi negara hebat bertaraf dunia melebihi kemampuannya.”
Kesal dengan tulisan Kit Siang yang jelas tidak memiliki sensitiviti, pengguna Twitter dengan nama paparan @jllmisai berkata, veteran parti DAP itu tiada sikap perikemanusiaan.
“Kerja gila menunggang kematian rakan sendiri untuk raih undi dalam PRN 6 negeri. Tak ada perikemanusiaan,” katanya.
“Kamu tak tahu malu ke? Hentikan berpolitik seketika untuk beri penghormatan,” kata pengguna Twitter dengan nama paparan @muhdnaimmustafa.
Manakala seorang lagi pengguna laman media sosial berkata, ini adalah kesan apabila seseorang pemimpin tiada nilai moral yang tinggi.
“Apabila nilai moral anda berdasarkan kuasa. Kematian hanyalah satu alat. Terima kasih kerana menunjukkan wajah sebenar anda semula,” katanya.
Sementara itu, @numanmazlan pula menyatakan, Kit Siang sepatutnya menulis mengenai kebaikan dan jasa Allahyarham Salahuddin, sebaliknya bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjuruskan tulisannya ke arah ‘tunggangan’ politik.
“Biadab. Sebarkan kebaikan yang beliau pernah lakukan sebelum ini lebih baik, bukan tunggang pemergiannya untuk kempen pilihan raya,” katanya.
Salahuddin yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia jam 9.23 malam tadi di HSB Alor Setar, Kedah.
Jumaat lalu, beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dikejarkan ke HSB pada jam 10.15 malam selepas mengalami muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.