Ayob Khan sangkal wujud konspirasi tahan Sanusi
Tangkapan MB Kedah berdasarkan kronologi siasatan kes, laporan polis

BANGI, 7 Muharam 1445H, Selasa – Polis menyangkal dakwaan kononnya terdapat rancangan dan komplot untuk menangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dirancang sejak enam bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebaliknya penangkapan yang dibuat pada 18 Julai lalu berdasarkan kronologi siasatan kes dan laporan polis yang diterima kerana menghina Sultan Selangor.
Katanya, sesiapa pun boleh membuat dakwaan mengikut tafsiran masing-masing namun mengikut kronologi, Muhammad Sanusi telah mengeluarkan kenyataan berbaur menghina Sultan Selangor pada 11 Julai lalu sebelum laporan polis pertama dibuat ke atasnya sehari selepas itu.
“Susulan daripada itu, ada lagi laporan dibuat pada 14 Julai oleh Majlis Diraja Selangor dan disebabkan itu kita buat tangkapan pada 18 Julai untuk pertuduhan di mahkamah.
“Jadi tidak timbul isu pihak polis jalankan siasatan enam bulan sebelum itu dan ada konspirasi,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Ayob Khan menegaskan, amaran sudah berulang kali diberikan oleh pihak polis supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh agama, raja dan kaum (3R).
Katanya, penahanan yang dilakukan terhadap Sanusi itu adalah susulan kenyataan menghina Institusi Diraja yang dibuatnya.
“Sempena bulan kemerdekaan tidak lama lagi, saya menyeru rakyat khususnya orang politik supaya melihat semula rukun negara ini.
“Jelas dalam rukun negara menyatakan kepercayaan kepada tuhan dan kesetiaan kepada raja dan negara.
“Kalau ada lagi mana mana-mana individu yang masih lagi cenderung untuk hina Institusi Diraja sudah pasti tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Katanya lagi, apabila tindakan tegas diambil oleh polis terhadap perbuatan itu, jangan membuat spekulasi.
“Hati-hati, kita akan ambil tindakan tidak mengira latar belakang,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya sudah lama dirancang, iaitu sejak enam bulan lalu.
Dakwanya, ia berdasarkan maklumat diterima daripada rakan bahawa ‘ada sesuatu’ akan dikenakan terhadapnya susulan kritikan terbuka dibuatnya kepada pihak tertentu.