Seorang lelaki disahkan positif MERS-CoV di Abu Dhabi
108 kontak rapat diperiksa, tiada jangkitan sekunder dikesan setakat ini

GENEVA, 7 Muharam 1445H, Selasa – Seorang lelaki berusia 28 tahun disahkan positif menghidap Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) yang boleh membawa maut di sebuah bandar di Abu Dhabi di sempadan Oman, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.
WHO dalam satu kenyataan berkata, lelaki di bandar Al Ain itu dimasukkan ke hospital bulan lalu.
Katanya, pegawai kesihatan telah memeriksa 108 orang kontak rapatnya bagaimanapun tiada jangkitan sekunder muncul setakat ini.
Menurutnya, tiada tanda-tanda lelaki itu telah bersentuhan dengan unta – yang menyebarkan penyakit yang berasingan daripada COVID-19.
WHO tidak memberikan maklumat lanjut mengenai keadaan semasanya.
Kementerian Kesihatan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak segera menjawab gesaan untuk mengulas mengenai kes itu.
Menurut data WHO, kes MERS-CoV – yang boleh menyebabkan demam, batuk dan sesak nafas, dan dalam beberapa kes radang paru-paru – telah direkodkan di 27 negara sejak 2012.
Sepanjang tempoh itu, 2,605 kes dan 936 kematian berkaitan telah dilaporkan.
UAE – hab untuk majlis antarabangsa – akan menjadi tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan November dan Disember. – Agensi