Berita Utama

Calon disaran buat semakan awal borang penamaan: SPR

Penyokong, pengiring dilarang berada 50 meter dari sempadan PPC

BANGI, 9 Muharram 1445H, Khamis – Hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC) Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN)Ke-15 (PRU DUN Ke-15) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Sementara, orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

Perkara itu diingatkan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak menerusi pemakluman hari penamaan calon PRU DUN Ke-15 dan PRK Parlimen Kuala Terengganu, hari ini.

“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya dalam kenyataan.

Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding PRU DUN Ke-15 dan PRK Parlimen Kuala Terengganu supaya mengisi borang serta membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan sebelum Sabtu ini.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti pembayaran.

“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” katanya.

Katanya, kertas penamaan calon oleh diserahkan dari jam 9 pagi hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di 173 Pusat Penamaan Calon yang berkenaan oleh calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang serta seorang daripada mereka, pada Sabtu ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button