Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Isu 3R makin parah sebab dinilai sudut politik bukan undang-undang

Jangan sampai orang Melayu sebagai tuan tanah dihadkan bersuara pertahan hak

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Muharram 1445H, Jumaat – Kerajaan perlu memperjelaskan takrifan undang-undang berkaitan 3R (agama, raja dan kaum), termasuk keperluan memperkenalkan akta baharu supaya tidak disalahgunakan sebagai senjata politik.

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berpandangan bahawa undang-undang itu perlu didefinisikan dengan tepat dan dinilai dari sudut undang-undang, bukan pada kaca mata politik untuk mempertahankan kuasa pihak tertentu.

Justeru, beliau menekankan keperluan melibatkan urus pakar perundangan untuk memberikan takrifan tepat kepada undang-undang berkenaan.

“Ianya (3R) mestilah digunakan untuk kepentingan agama, keselamatan negara dan keharmonian kaum serta bukan sebagai senjata kepada mereka yang terdesak atau terancam.

“Undang-undang bukan senjata untuk mana-mana pihak. Undang-undang adalah untuk menjaga keamanan negara seluruhnya,” katanya kepada Ismaweb.net selepas sidang media khas BERJASA di Hotel Tenera, semalam.

Atas sebab itu, Zamani menegaskan bahawa undang-undang berkaitan 3R tidak boleh digunakan sesuka hati, apatah lagi untuk menjatuhkan pihak tertentu yang bertujuan serangan politik.

“Sebaliknya ia mesti satu undang-undang yang berdiri di atas keadilan. Undang-undang patut diletakkan pada haknya dan tidak sepatutnya mana-mana kuasa mempergunakan undang-undang untuk kepentingan kuasa, tetapi mesti demi keamanan negara.

“Maka, jangan terlalu cepat dan mudah (melaksanakan), kerana undang-undang itu perlukan kajian, bacaan, kupasan dan satu konsep, barulah boleh dikatakan undang-undang,” katanya.

Beliau juga bimbang jika pelaksanaan undang-undang berkaitan 3R tidak dikaji sebaiknya, ia akan mengehadkan suara orang Melayu untuk bercakap dan mempertahankan hak serta kepentingan bangsa mereka.

“BERJASA berpegang bahawa tuan tanah negara ini asalnya orang Melayu, namun kita menerima bangsa lain sebagai warganegara.

“Janganlah sesekali tuan tanah ini dinafikan bercakap mengenai bangsanya. Apa maknanya sebagai satu warganegara, yang menjadi tuan tanah lama di sini, asal usul di sini, tak boleh bercakap mengenai kepentingan dan hak bangsa sendiri. Bagi saya tidak adil,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, perbincangan dan kajian mengenai undang-undang 3R termasuk sama ada akta baharu diperkenal akan dibentang kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet minggu ini.

Beliau berkata, pembentangan kajian fasa pertama itu akan dilakukan secara menyeluruh sebelum sebarang ketetapan dibuat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button