JSPT laksana Op Pematuhan didik masyarakat ikut peraturan lalu lintas
Operasi penguatkuasaan secara berterusan di semua kontinjen, daerah

BANGI, 10 Muharram 1445H, Jumaat – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas semua penggunaan kenderaan di seluruh negara bagi mendidik serta memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
Timbalan Pengarah I JSPT, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, tindakan pematuhan peraturan lalu lintas itu meliputi Op Lampu Isyarat Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Halangan Lalu Lintas, Op Garisan Putih, Op Parkir Haram dan Kempen Op Didik.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan ini dilaksanakan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah dengan memberi tumpuan di kawasan berlakunya kekerapan kemalangan serta ketidakpatuhan lalu lintas jalan.
“Justeru, PDRM menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.
“Kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.