Laluan KM66.1 di Lebuh Raya Karak dibuka semula
Usaha penilaian sewajarnya dilaksana tangani insiden mendapan tanah

BANGI, 10 Muharram 1445H, Jumaat – Anih Berhad hari ini mengumumkan pembukaan semula Kilometer 66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) selepas langkah-langkah komprehensif diambil dan usaha penilaian yang sewajarnya dilaksanakan bagi menangani insiden mendapan tanah, Rabu lalu.
Susulan kejadian itu, semua pihak terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Malaysia Rail Link (MRL) telah membuat penilaian segera dengan kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kata Anih Berhad dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, Anih bersama pihak terlibat bekerjasama dalam memudahkan pembukaan semula lebuhraya dengan segera, memastikan keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Tindak balas yang terselaras daripada pasukan Anih bersama-sama dengan sokongan pihak yang berwajib memainkan peranan penting dalam menyelesaikan keadaan dengan pantas semasa usaha pemulihan.
“Anih Berhad kekal komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi dan pemantauan berterusan keadaan jalan raya.
“Keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya sentiasa menjadi perhatian utama kami,” katanya.
Anih Berhad turut menasihatkan supaya semua pengguna jalan raya mematuhi had laju yang ditetapkan dan berhati-hati ketika memandu di KM66.1, bagi memastikan perjalanan lancar serta selamat untuk semua.
Pengguna juga disarankan mengikuti saluran rasmi media sosial Anih Berhad di Facebook @Lebuhraya Pantai Timur dan Twitter @LPTTrafik serta Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter @llmtrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia.
Katanya, untuk sebarang kecemasan pengguna boleh menghubungi LPT-Line di 1700-818-700 atau LLM di 1800-88-7752.