Tun M ramal PN menang mudah 5-1
Jangkaan dapat sokongan pengundi Melayu kawasan luar bandar

LANGKAWI, 10 Muharam 1445H, Jumaat – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Perikatan Nasional (PN) akan menang mudah 5-1 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Beliau berkata, pakatan yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai masa depan yang cerah dalam menguasai lima DUN termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Saya rasa PN mempunyai potensi besar di mana mereka boleh memenangi semua negeri pantai timur (Kelantan dan Terengganu), selain Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Tetapi mungkin mereka tidak boleh memenangi Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Hari Usahawan Sosial ke-13 di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata, ramalannya dibuat berdasarkan sentimen dalam kalangan pengundi tua, khususnya Melayu di kawasan luar bandar.
“Sentimen pengundi Melayu tidak sama seperti semasa pilihan raya umum lalu kerana ramai daripada mereka berasa ragu-ragu mengenai masa depan mereka.
“Mereka melihat ekonomi tidak bertambah baik, mereka masih miskin dan merasai tekanan, dan pada masa sama, mereka tidak mendapat bimbingan atau sokongan daripada kerajaan bagaimana mereka boleh maju,” katanya seperti dilapor NST.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai kemungkinan peningkatan jumlah calon Bebas pada pilihan raya 12 Ogos, Dr Mahathir berkata, mereka yang berbuat demikian hanya mahu menjejaskan proses pilihan raya.
“Ia akan menjadikan pilihan raya seolah-olah sesuatu yang tidak serius. Saya tidak nampak calon bebas mampu melakukan apa-apa.
“Mungkin (jika menang) mereka boleh pergi ke Parlimen dan bercakap, tetapi mereka tidak akan membawa apa-apa kesan kerana mereka tidak mewakili majoriti rakyat.
“Pilihan raya adalah untuk membentuk kerajaan, bukan semata-mata untuk menjadi wakil rakyat, katanya.