Ahli UMNO tak perlu ragu undi calon DAP, kata Puad Zarkashi
'UMNO lebih berpengalaman dalam tahaluf siyasi berbanding PAS'

BANGI, 11 Muharam 1445H, Sabtu – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta ahli parti supaya tidak ragu dan apologetik untuk mengundi calon-calon Kerajaan Perpaduan, termasuk daripada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Beliau berkata, isu ‘No Anwar, No DAP’ tidak lagi berbangkit kerana ia sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun kini UMNO secara konsensus sudah menjadi Kerajaan Perpaduan.
Menurut Puad, keputusan memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kongsi untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan adalah dicapai parti selepas MKT bermesyuarat sehingga jam 1 pagi.
“UMNO setia titah YDP Agong. Yang degil ialah PN (Perikatan Nasional). UMNO lebih berpengalaman dalam tahaluf siyasi berbanding PAS.
“UMNO, MCA dan MIC bekerjasama sejak 1995 lagi. Kini DAP rakan baru. Apa bezanya jika Perlembagaan ditaati. UMNO lakukan ini demi kestabilan.
“Sebab itu Kerajaan Perpaduan perlu dipertahankan dan menang. PRN medan mengukuhkan ‘kejujuran politik’ madani. PN akan lemas,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, kenyataan Puad itu menerima kritikan pengikut media sosialnya yang memberi gambaran bahawa akar umbi tidak sehaluan dengan keputusan dibuat pucuk pimpinan UMNO.
“Kenyataan yang menguatkan lagi hasrat akar umbi UMNO untuk menyokong PN. Alhamdulillah,” tulis Man Puyuh.
“Mesyuaratlah sampai Subuh sekali pun tapi tetap tak bawa suara akar umbi pun tak guna juga YB, tunggu sahajalah keputusan PRN nanti,” kata Mohd Azahari Mohamed.
“Maaf tok, akar umbi UMNO takkan pangkah DAP, lepas ni kalian undi dan menangkan diri kalian sendiri di PRN dan PRU… syarat perjanjian utama, masa nak kerjasama PH-DAP, selesaikan dulu kes Najib,” kata Haza Ni.