Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Presiden Gerakan sukar rampas kerusi DUN Bayan Lepas tanpa sokongan PAS

Jentera PAS tidak kelihatan iringi Dominic ketika penamaan calon

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Muharam 1445H, Sabtu – Ketiadaan jentera PAS mengiringi Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di pusat penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas seolah-olah menunjukkan konflik yang tercetus di antara kedua-dua parti gabungan Perikatan Nasional (PN) itu belum berakhir.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, sekiranya Dominic tidak mendapat sokongan PAS, maka Pengerusi PN Pulau Pinang itu dijangka sukar menewaskan penyandang kerusi tersebut, Azrul Mahathir Aziz daripada Pakatan Harapan (PH).

“Amat sukar bagi Presiden Gerakan ini mengambil alih kerusi Bayan Lepas kerana penyandangnya agak popular daripada PH.

“Dan kalau ditambah dengan boikot daripada PAS memang sukarlah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata, kesemua kerusi ditandingi Gerakan di Pulau Pinang adalah kawasan DAP dan majoriti bukan Melayu.

Katanya, Bayan Lepas adalah satu-satunya kerusi yang ada kemungkinan boleh menang jika PAS dan penyokong Melayu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengundi calonnya.

“Jika PAS merasa kecewa dengan perkara itu (pencalonan Dominic), maka sukarlah Dominic Lau menumpaskan penyandang daripada PH,” katanya.

Sebelum ini, pencalonan Dominic untuk bertanding DUN Bayan Lepas yang mempunyai 64 peratus penyokong Melayu itu mendapat bantahan keras penyokong PAS Bayan Lepas sekali gus membuat pendirian memboikot hari penamaan calon dan menutup Bilik Operasi PAS di seluruh kawasan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button