Mohd Amar nafi punca Nik Abdul tak tercalon
Anggap dakwaan tular perkara biasa menjelang PRN

BANGI, 12 Muharam 1445H, Ahad – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar menafikan dakwaan dirinya adalah punca Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tidak tercalon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Naib Presiden PAS itu menegaskan, nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu sememangnya tidak tersenarai dari awal untuk kerusi berkenaan.
“Itu fitnah apabila mengatakan saya yang menghalang, sedangkan beliau tidak terbabit dalam mesyuarat pimpinan parti selain tiada jawatan dalam parti.
“Saya tidak tahu dari mana sumber maklumat sedemikian termasuk menyentuh surat daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.
Terdahulu tular video yang dibuat adik Allahyarham Tan Sri Nik Aziz iaitu Nik Din Nik Mat menggesa supaya rakyat tidak mengundi Timbalan Menteri besar itu pada PRN kali ini.
Menerusi video berdurasi 2 minit 33 saat itu, Nik Din mendakwa telah bertemu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang turut memberi jaminan bahawa Nik Abduh akan dicalonkan dalam PRN kali ini.
Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga calon DUN Panchor berkata, isu berkenaan sepatutnya selesai apabila Nik Mohamad Abduh dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sudah menjelaskan perkara itu.
“Tuan Ibrahim sebelum ini sudah jawab Nik Mohamad Abduh tidak mahu bertanding dan beliau sendiri juga mengatakan tidak berhasrat dan tiada masalah tidak bertanding kerana mahu menguruskan sekolah agama.
“Jadi, kenapa orang lain yang perlu membuat tuduhan? Bagi saya perkara itu tidak betul,” katanya.
Pada masa sama Mohd Amar menyifatkan kejadian yang berlaku adalah perkara biasa berlaku menjelang PRN dan perlu hadapi dengan tenang.
“Bagi saya isu seperti ini adalah biasa terutama ketika PRN dan kita perlu hadapilah. Namun saya yakin pengundi pun bijaksana kerana kita sokong PAS, bukan sokong individu,” katanya.