Berita Utama

Tawaran Zahid sogokan beli undi

Tiada masalah nak salur bantuan tapi jangan normalisasikan rasuah

BANGI, 12 Muharam 1445H, Ahad – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan pemberian geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu adalah satu bentuk sogokan.

Menerusi hantaran di akaun Twitter, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu mendakwa, ‘bantuan’ yang diumumkan di tengah-tengah kempen pilihan raya dengan syarat undi mereka jelas sogokan untuk membeli undi.

“Jelas, bantuan diberikan dengan syarat, undi mereka. Undi gelombang Biru dan Merah. Siap umum lagi akan ‘topup’ kalau menang besar.

“Saya tiada masalah bantuan nak disalurkan untuk rakyat. ‘But, let’s be real’.

“Jangan normalisasikan rasuah. ‘What is wrong, is wrong’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh Kerajaan Persekutuan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir negara, ia berhak untuk memberi inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.

Katanya, beliau merasakan tiada isu boleh dikaitkan dengan pemberian geran berkenaan kerana ia adalah satu inisiatif daripada kerajaan.

Terdahulu, selain sumbangan kepada gabungan belia Ketengah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

Pautan terdahulu;

https://ismaweb.net/2023/07/30/1bila-sprm-nak-ambil-tindakan-terhadap-zahid/
https://ismaweb.net/2023/07/30/sumbangan-menjelang-prn-apakah-ini-bukan-politik-wang/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button