Berita Utama

Tiada rakyat kita terbabit letupan gudang mercun Narathiwat

Tragedi berlaku di gudang penyimpanan bunga api

KUALA LUMPUR, 12 Muharam 1445H, Ahad – Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla mengesahkan tiada rakyat Malaysia setakat ini dilaporkan terlibat dalam insiden letupan gudang mercun di Mukim Mundok, Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan laporan awal, letupan itu berlaku di gudang penyimpanan bunga api dan mercun yang telah menyebabkan sembilan kematian dan 114 orang mengalami kecederaan.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden tersebut.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +6674311062 atau +66936570707 (untuk kecemasan) atau melalui e-mel [email protected] dan sebarang perkembangan terkini mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu Gabenor Narathiwat Sanan Pongaksorn dilaporkan berkata letupan pada 3.30 petang (waktu tempatan) itu berlaku di Pasar Mundok, destinasi beli-belah popular bagi rakyat Malaysia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button