44 maut serangan bunuh diri di perhimpunan politik Pakistan
Letupan sasar Parti Jamiat Ulema-e-Islam-F

ISLAMABAD, 13 Muharam 1445H, Isnin – Sekurang-kurangnya 44 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan bunuh diri di perhimpunan politik, wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan.
Serangan menyasarkan parti Jamiat Ulema-e-Islam-F (JUI-F) – rakan gabungan kerajaan yang diketuai ulama terkenal yang berpengaruh – apabila lebih 400 ahli dan penyokong berkumpul di bawah khemah di bandar Khar, berhampiran bersempadan Afghanistan, pada hari Ahad, kata pegawai.
“Khemah runtuh, mangsa yang terkorban terperangkap,” kata Abdullah Khan, yang cuba membantu mangsa.
Terdapat kekeliruan, antara daging manusia, anggota badan, dan bahagian tubuh kerana bertaburan di seluruh kawasan, bersama mayat tidak bernyawa, katanya.
Menteri Kesihatan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Riaz Anwar memberitahu AFP lewat Ahad bahawa 44 orang telah disahkan terbunuh dan sekurang-kurangnya 120 cedera.
“Ia adalah serangan bunuh diri, apabila pengebom meletupkan diri dalam jarak dekat dengan pentas,” katanya kepada AFP.
Ketua JUI-F, Maulana Fazlur Rehman menuntut Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Ketua Menteri sementara, Khyber Pakhtunkhwa menjalankan siasatan mengenai letupan Bajaur.
“Seorang pemimpin kanan dari parti itu sepatutnya menyampaikan ucapan, tetapi tragedi letupan bom berlaku sebelum ketibaannya,” kata Ketua Polis wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Akhtar Hayat Gandapur, kepada AFP.
Beliau berkata, letupan itu menyasarkan konvensyen JUI-F.
Pakistan menyaksikan kebangkitan semula serangan militan sejak tahun lalu apabila gencatan senjata antara Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) dan kerajaan di Islamabad gagal.
TTP berikrar taat setia kepada militan Taliban Afghanistan. Kerajaan Pakistan menuduh kerajaan Taliban menyediakan tempat persembunyian kepada militan TTP berhampiran sempadan. – Agensi