BERJASA tak sesal kalah PRU15, tekad bangkit kembali PRU16
Terima lonjakan visibiliti, impak positif ketika bersama GTA

SETELAH lebih lapan bulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) melabuhkan tirainya, negara menyaksikan perubahan ketara kepada landskap politik tanah air, termasuk dalam episod pembentukan kerajaan baharu.
Berbeza dengan pilihan raya umum terdahulu, PRU15 menonjolkan lebih banyak ‘warna’ apabila bukan hanya disertai parti-parti utama sedia ada.
Ini termasuklah penyertaan parti BERJASA sebagai komponen menerusi gabungan politik baharu, Gerakan Tanah Air (GTA) – yang turut dianggotai Pejuang, Putra, Iman dan tokoh-tokoh nasional.
Langkah BERJASA untuk bersama GTA sebelum ini dikatakan sebagai taktikal parti dalam menghadapi pilihan raya umum dan satu langkah strategik untuk meningkatkan visibiliti di mata masyarakat.
Tepatkah percaturan BERJASA dalam arena politik ketika itu, mari ikuti wawancara eksklusif Ismaweb.net bersama Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman al-Hakim Mohamad.
Soalan: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi penyertaan ‘sulung’ BERJASA dalam pilihan raya terbesar negara. Adakah BERJASA melihat ia permulaan yang baik kepada parti?
Muhammad Lukman: Sebenarnya parti BERJASA yang berwajah baru sudah mula menceburkan diri dalam arena politik tanahair sejak PRU ke-13 pada tahun 2013 dengan membariskan calon-calon dari NGO ISMA yang sangat berwibawa di 9 parlimen dan 2 dewan undangan negeri (DUN) di seluruh negara.
Memang jumlahnya sangat kecil, tetapi ketika itu objektif utama kami hanyalah untuk memainkan peranan kuasa ketiga sebagai pendesak, penentu dan pengimbang kuasa yang paksi politiknya ialah nasib dan masa depan umat Melayu Islam di Malaysia tanpa mengira blok politik mahupun sepadan kepartian.
Dengan slogan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ kami menyeru supaya rakyat menolak calon-calon bukan Islam di kawasan majoriti Muslim di Malaysia.
Momentum ini diteruskan oleh parti BERJASA dalam PRU-15 tahun lepas dengan mengemukakan calon-calon professional yang berkarisma tinggi di 10 Parlimen dan 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara. Jadi ia sebenarnya penglibatan kedua kami dalam PRU.
Sudah tentu saya sendiri sebagai Pengarah Pilihanraya Pusar BERJASA dalam PRU15 melihat ia merupakan permulaan yang ama baik buat parti kecil dan baharu seperti kami ini dari aspek imej dan pengalaman bertarung di medan politik sebenar.
Penonjolan calon-calon BERJASA di media sosial dan medan amal sebenar melonjak secara mendadak, malah kami menerima pelbagai sokongan dan maklumbalas positif dari akar umbi di tempat-tempat yang ditandingi terutama berkenaan kualiti calon yang bersih, muda dan profesional yang kami ketengahkan.
Rata-rata rakyat juga sangat bertarik dengan slogan ‘Bersama Pimpin Negara’ yang menunjukkan kesungguhan parti BERJASA membina Kembali Malaysia yang lebih baik secara inklusif dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk tokoh, ahli akademik, bekas penjawat awam, persatuan dan NGO.
Soalan: Adakah percaturan BERJASA menjadi komponen Gerakan Tanah Air (GTA) memberi impak kepada parti?
Muhammad Lukman: Ya, sudah tentu. Seperti yang saya katakan tadi banyak impak positif yang kami perolehi dari penyertaan PRU-15 bersama GTA. Kami memperolehi lonjakan ‘visibility’ serta berjaya mengukuhkan kedudukan serta pengaruh di kawasan-kawasan yang ditandingi walaupun tidak menang.
Parti BERJASA juga berjaya menunjukkan satu model politik matang yang mungkin agak baharu di tanahair kita iaitu pertama sekali dengan kredibiliti calon-calon parti yang bersih dan tidak terpalit sebarang beban politik lampau.
Kedua, berkempen secara professional tanpa menghina dan menyerang pihak lawan. Sebaliknya kami memfokuskan bahan kempen kepada projek pembangunan serta kebajikan penduduk setempat selari dengan pelan jangkamasa panjang Impian Nasional 2040 BERJASA.
Sebahagian janji atau manifesto ini berjaya kita laksanakan di kawasan yang terlibat walaupun kami kalah dan tidak menjadi ahli parlimen atau ADUN di kawasan-kawasan tersebut. Inilah politik matang yang memfokuskan kepada kebajikan rakyat dari kaca mata parti BERJASA.
Namun, jika ditanya kenapa BERJASA tidak berjaya memenangi sebarang kerusi, banyak faktor yang menyumbang seperti sentimen pengundi yang masih terikat dengan tarikan blok parti utama yang besar, arus perubahan pengundi muda yang tidak kuat serta kekurangan blok GTA sendiri dari segi kemahiran, tenaga dan dana.
Saya juga melihat gelombang penolakan terhadap pimpinan tertinggi GTA sendiri, Tun Dr Mahathir adalah amat kuat dan turut memberikan kesan tidak langsung kepada BERJASA.
Soalan: Bagaimana BERJASA menganggap PRU15 menjadi langkah pertama untuk pengundi mengenal parti, sedangkan BERJASA tidak bertanding menggunakan logo sendiri sebaliknya lebih menonjolkan parti Pejuang?
Muhammad Lukman: Itu tidak menjadi masalah sebenarnya. Kajian dan analisa yang kami buat selepas PRU-15 menunjukkan peningkatan serta lonjakan mendadak capaian serta like pelbagai platform media sosial parti dan calon-calon yang bertanding.
Ini kerana, selain bahan-bahan cetakan untuk tujuan berkempan yang menggunakan logo Pejuang, kami turut melabur secara besar-besaran bagi tujuan pemasaran atau kempen dalam talian (online) yang mengangkat imej serta logo BERJASA secara terus.
Selain itu dalam program kempen dan ceramah politik yang diadakan sepanjang tempoh berkempen, semua calon-calon diperkenalkan sebagai ahli politik BERJASA.
Malah kesemua mereka telah lama dikenali sebagai ahli politik BERJASA pun di kawasan masing-masing hasil interaksi dan sumbangan bakti mereka yang sebahagiannya telah memakan masa bertahun-tahun.
Soalan: Apakah hala tuju BERJASA selepas ini dari sudut pengukuhan parti dan kerjasama politik dengan parti-parti lain di Malaysia?
Muhammad Lukman: Hakikatnya, halatuju BERJASA kekal untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan unggul berteraskan konsep negara Islam dan beridentitikan Melayu.
Misi besar ini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk slogan seperti ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ dan ‘Bersama Pimpin Negara’, namun intipatinya tetap sama. Yang berubah ialah landskap serta pentas politik negara kita.
BERJASA sebagai sebuah parti politik yang dinamik dan berdaya saing melihat kerjasama dengan parti-parti politik lain yang memiliki persamaan agenda adalah amat penting bagi mengangkat misi besar yang kami telah rangka buat negara tercinta.
Menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) 2023 dan rombakan GTA yang berlaku, BERJASA akan terus konsisten dengan kerja asasi memperkukuhkan parti dan meningkatkan keahlian selain membina kerjasama dengan parti-parti politik utama bagi menghadapi PRU16 yang bakal tiba.