Berita Utama

Dewan Ulama PAS kecam kerajaan tutup mata kesalahan Zahid

Ucapan 'sogokan' disaksikan jutaan rakyat, bukan sembunyi-sembunyi

BANGI, 13 Muharram 1445H, Isnin – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menafikan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu berunsur rasuah.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya menegaskan, tindakan itu boleh diklasifikasi mengikut kesalahan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk melakukan rasuah.

“DUPP mengecam tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid yang dilihat seolah-olah cuba merasuah rakyat dengan pelbagai peruntukan ‘one-off’ sebagaimana yang diumumkan di Terengganu baru-baru ini.

“Malangnya, pihak SPRM awal-awal lagi menafikan kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ironinya, Ahmad Yahya berkata, pihak kerajaan yang kononnya dilihat sangat sensitif dengan amalan rasuah dan salah laku tadbir urus tiba-tiba boleh menutup mata terhadap kesalahan serius yang dilakukan oleh orang nombor dua dalam kerajaan campuran mereka sendiri.

Sedangkan kesalahan itu disaksikan oleh jutaan rakyat dan ia bukannya berlaku secara sembunyi-sembunyi.

“Jelaslah kerajaan yang diulang-ulang dengan slogan madani ini telah jauh daripada realiti. Mereka kononnya tegar melawan rasuah dan salah laku sedangkan kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan negeri turut akan menjadi destinasi seterusnya untuk pihak lawan menggunakan jawatan mereka sebagai alat untuk menabur pelbagai janji manis kepada rakyat.

Bagaimanapun tegasnya, rakyat tidak mudah termakan dengan janji kosong pihak lawan.

“DUPP sangat berkeyakinan bahawa prestasi cemerlang tiga tahun kerajaan negeri pimpinan PAS atau Perikatan Nasional (PN) adalah ‘manifesto’ utama kepada sokongan rakyat kepada kami.

“Sebagaimana yang selalu kami ulang, rakyat khususnya anak muda telah membuat keputusan yang jelas, terang lagi bersuluh untuk memilih kepimpinan PN sebelum melakarnya di atas kertas undi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button