Berita Utama

MCA berada tahap terendah ketika ini, kata bekas presiden

Hilang kerusi tradisi dua PRU berturut, PRN nanti juga mustahil menang

JOHOR BAHRU, 13 Muharam 1445H, Isnin – “MCA berada pada tahap terendah dari segi politik. Presidennya harus sedar MCA telah kehilangan kerusi tradisi dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut. 

“Tidak mungkin calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini akan mendapat undi,” kata bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek mengulas realiti ketidakstabilan parti perkauman itu ketika ini.

Beliau berkata, untuk kekal relevan, MCA perlu bangkit, mengukuhkan parti dan mempunyai idea inovatif.

Malah, beliau juga menggesa parti itu menghentikan pertelingkahan mengenai bekas pemimpinnya.

Dr Chua berkata, mana-mana pemimpin politik harus berasa malu jika ahli parti mula menyerang bekas pemimpin ketika acara rasmi.

Beliau berkata demikian susulan wujud pertelingkahan di kalangan ahli parti ketika majlis makan malam anjuran anggota MCA dari lima bahagian di Sekijang di Segamat.

Beliau berkata, acara perpaduan itu bertukar menjadi ‘pertunjukan yang memalukan dan menyedihkan’.

“Seorang ahli parti MCA menjadi tumpuan utama dalam usahanya melobi jawatan tinggi dalam pemilihan parti MCA pada September, dengan mencemarkan nama baik saya.

“Ahli MCA itu membuat tuduhan palsu tentang saya, dan saya hairan, presiden tidak cuba menghalangnya,” katanya seperti dilapor NST.

Dr Chua berkata, kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu lalu semasa majlis makan malam anjuran MCA yang bertemakan Makan Malam Perpaduan, di hadapan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong dan ahli MCA lain, yang akhirnya mencetuskan pergaduhan sehingga kerusi dibaling dan ada kecederaan dilaporkan.

“Jadi, sudah tiba masanya bergerak ke hadapan dengan langkah yang akan menjadikan MCA relevan, daripada menimbulkan kekecohan yang tidak perlu dalam kalangan ahli,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button