Berita Utama

UMNO terdesak raih undi, guna taktik lapuk pancing rakyat

Sepatutnya Zahid juarai isu pembangunan belia, bukannya sogok anak muda

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Muharam 1445H, Selasa – UMNO sebenarnya terlalu terdesak sehingga terpaksa menggunakan taktik lapuk demi memancing rakyat dengan membuat pengumuman peruntukan geran tambahan kepada persatuan belia di Terengganu dengan syarat mengundi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu jelas merupakan satu bentuk rasuah dan dilakukan secara terang-terangan tanpa segan silu menjelang PRN yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, kata Naib Presiden BERJASA, Ir Muhammad Lukman Al Hakim Mohammad.

“Budaya lama UMNO ini sebenarnya sudah lapuk, namun apabila terus menerus dilakukan ini menunjukkan UMNO sudah terlalu terdesak.

“Mereka sebenarnya tidak memiliki apa-apa inisiatif lebih baik yang mampu menarik minat anak muda dan seterusnya membangunkan potensi mereka.” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang menyifatkan pengumuman peruntukan sebanyak RM550,000 oleh Ahmad Zahid di Dungun, baru-baru ini sebagai ‘sogokan’ untuk PRN.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid mengumumkan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), selain meluluskan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu serta RM200,000 bagi kelab bermotosikal di negeri itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Lukman berpandangan Zahid sepatutnya menjuarai isu pembangunan belia sebagai pemimpin masa depan negara, bukan sebaliknya.

“Sebagai pemimpin nombor dua dalam negara, Zahid sepatutnya menjuarai isu pembangunan belia sebagai pemimpin masa depan negara, bukannya merasuah anak muda bagi mengundi UMNO,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan budaya politik kotor seperti ini harus dihentikan dan UMNO harus dihukum dengan keras dalam PRN kali ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button