Ekstremis Hindu bakar masjid, bunuh imam di India
Modi membisu punca keganasan terhadap umat Islam terus meningkat

DELHI, 15 Muharam 1445H, Rabu – Sekumpulan perusuh Hindu membakar sebuah masjid dan menembak mati seorang imam di Haryana di India, negeri yang berjiran dengan ibu negara New Delhi.
Masjid yang terletak di daerah Gurugram Haryana, dibakar pada malam Isnin oleh puak Hindu pelampau, yang melepaskan tembakan dan membunuh seorang imam yang dikenali sebagai Maulana Saad.
Dua orang turut cedera dalam serangan itu.
Polis Gurgaon berkata, penyerang (yang membakar masjid) telah dikenal pasti dan beberapa daripada mereka telah ditangkap.
Serangan itu berlaku selepas tercetus pertempuran pada hari sama – di daerah jiran Nuh apabila perarakan anjuran kumpulan ekstremis sayap kanan Hindu Vishwa Hindu Parishad (VHP) melalui daerah yang didominasi umat Islam itu.
Keganasan itu menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, termasuk dua anggota pengawal rumah – pasukan sukarela yang membantu polis mengawal gangguan awam – dan sekurang-kurangnya 20 cedera.
“Perarakan itu bertujuan untuk berpindah dari satu kuil ke kuil lain tetapi pertempuran berlaku antara dua kumpulan dalam perjalanan, yang mengakibatkan kematian empat orang,” jurucakap polis Nuh, Krishan Kumar memberitahu Reuters.
Berikutan keganasan itu, perintah larangan telah dikenakan di Gurugram, dan sekolah serta kolej di daerah itu diarahkan tutup pada hari Selasa.
Perintah berkurung juga dikenakan di Nuh di mana internet juga telah ditutup.
Agenda Perdana Menteri, Narendra Modi yang membawa konsep ‘Hindu didahulukan’ sejak berkuasa pada 2014 telah mencetuskan ketegangan komunal di India.
Insiden terbaharu menyasarkan minoriti Muslim India yang dilakukan oleh nasionalis Hindu telah dikuatkan dengan sikap berdiam diri Modi terhadap serangan sedemikian sejak berkuasa.
Selama bertahun-tahun, orang India Muslim sering menjadi sasaran termasuk aspek gaya makanan dan pakaian serta perkahwinan.
Pengkritik berkata, ketegangan ini diburukkan lagi oleh televisyen India berhaluan kanan dalam program perbahasan yang disiarkan.
Kumpulan hak asasi antarabangsa memberi amaran bahawa serangan sedemikian akan terus meningkat.
Mereka berkata, parti pemerintah Modi mengabaikan aspek itu dan kadangkala membiarkan ucapan kebencian terhadap umat Islam, yang terdiri daripada 14 peratus daripada 1.4 bilion penduduk India – masih menjadi penduduk Islam kedua terbesar antara negara. – Agensi