Hubungan akar umbi PAS Pulau Pinang, Gerakan masih tegang?
Demi 'kerjasama', kerusi majoriti Melayu terpaksa dilepaskan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 15 Muharam 1445H, Rabu – Meskipun mendapat tentangan akar umbi PAS – Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai tetap diberi peluang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.
Rata-rata ahli PAS Pulau Pinang mengakui ramai yang tidak berpuas hati apabila kerusi tradisi parti diserahkan kepada Dominic.
Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan menyifatkan, keputusan Majlis Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Pusat meletakkan Presiden Gerakan itu sebagai calon PN di kerusi itu wajar atas dasar kerjasama politik.
“Hakikatnya Gerakan perlu diberi peluang untuk menang paling tidak satu kerusi. Cadangan paling terbaik adalah untuk presidennya bertanding di kawasan majoriti Melayu.
“Ia bukan sahaja akan menarik perhatian pengundi PAS dan Bersatu bahkan daripada pengundi Melayu yang lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Beliau bagaimanapun tidak pelik dengan kekecewaan yang diluahkan PAS selepas Dominic disahkan bertanding di kerusi yang majoritinya penduduk Melayu.
“Gerakan perlu diberi peluang kerana mereka juga bertanding. Tidak seperti MIC dan MCA yang tidak diberi peluang dan menarik diri.
“Dalam hal ini, kita faham mengapa PAS kecewa kerana kemungkinan akan kehilangan satu kerusi buat parti mereka. Tetapi itulah dikatakan sebagai kerjasama politik dalam parti PN,” katanya.
Hubungan di antara Gerakan dan PAS Pulau Pinang nampaknya masih tegang apabila Dominic Lau dilaporkan diminta meninggalkan program Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Sungai Dua di Tasek Gelugor malam tadi.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong mengesahkan, parti itu tidak diundang untuk menghadiri program Ceramah Mega PN Best berkenaan.
“Saya hanya maklum mengenai penganjuran Ceramah Mega PN Best menerusi siaran langsung di Facebook.
“Setahu saya ceramah berkenaan mungkin untuk PAS sahaja dan mungkin mereka tak undang kita kerana penganjurannya dibuat di lokasi majoriti Melayu atau hanya mahu penceramah dalam kalangan Melayu,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Terdahulu, PAS Pulau Pinang mengakui berlaku sabotaj dalam jentera parti selepas Dominic Lau, diletakkan sebagai calon PN di DUN Bayan Lepas.
Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof berkata, perkara itu sedang diuruskan oleh kepimpinan agar suasana kembali reda bagi memastikan kempen dapat berjalan dengan baik sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Menurutnya, memang terdapat pihak yang tidak berpuas hati berikutan kerusi tradisi PAS yang kontroversi itu diserahkan kepada Dominic Lau.