Berita Utama

Jangan sentuh isu 3R, bahaya pada perpaduan

Penyebab berlakunya jurang lebih besar antara kaum

PEKAN, 15 Muharam 1445H, Rabu – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menasihati rakyat agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) yang sangat berbahaya kepada perpaduan serta keharmonian negara.

Beliau berkata, isu 3R berisiko menyebabkan berlakunya jurang lebih besar antara kaum selain boleh melahirkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama.

Pada masa sama, Wan Rosdy berharap rakyat mengamalkan politik matang dan bukannya politik serang-menyerang sepanjang masa bagi membolehkan usaha membangunkan negara yang giat dilaksanakan Kerajaan Perpaduan berjalan seperti diharapkan.

“Sekarang masa untuk membangunkan negara dan negeri. Jika tidak, ia akan lebih teruk pada masa akan datang… ekonomi merundum, pendapatan negara turun dan hutang negara tinggi. Pada masa itu, tidak ada gunanya untuk menyesal,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Pahang di Dataran Bandar Diraja Pekan malam ini.

Wan Rosdy juga berkata, program menyemarakkan semangat patriotik harus kerap diadakan bagi mengingatkan rakyat khususnya generasi muda bahawa kemerdekaan yang dinikmati adalah hasil usaha serta pengorbanan dan kebijaksanaan pemimpin terdahulu.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button