UMNO sekarang sudah rosak, rabak
Demi tujuan sendiri, perjuangan bangsa dan agama diketepikan

BANGI, 16 Muharam 1445H, Khamis – UMNO kini dilihat sudah lari daripada prinsip asal berikutan ‘rosak’ akibat pemimpin parti demi kepentingan diri sendiri.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu berlaku susulan tindakan UMNO yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang ada di dalamnya DAP.
“Zaman berzaman sejak saya jadi ahli UMNO dulu, jangan sebut DAP…pantang, memang tak sebulu.
“Saya bukan nak cakap soal perkauman, kerana saya tahu, perjuangan DAP tidak menggambarkan dia memahami hasrat dan cita-cita orang Melayu, sebab itu sejak dahulu lagi UMNO tidak boleh bersepakat langsung dengan DAP.
“Ahli UMNO jangan fikir UMNO macam dahulu, UMNO sekarang sudah rosak, koyak rabak, prinsip asal perjuangan UMNO sudah tidak ada lagi, dikorbankan,” katanya
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan pertuduhan di mahkamah sedang mencari penyelamat bagi membantu dirinya.
” Masa saya jadi perdana menteri dulu, dia pun jumpa saya, bawa fail… minta tolong kes dia yang dihadapinya.
“Tapi sebagai perdana menteri, saya pegang amanah rakyat, tak boleh terima kalau seseorang itu hadapi pertuduhan,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menjelaskan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya menolak rasuah tapi dalam masa sama melantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dilihat seolah-olah bercakap tidak serupa bikin.
“Kalau perdana menteri menunjukkan menentang rasuah, dia mesti tolak Zahid Hamidi berada dalam kerajaan, tapi kalau tolak Zahid, dia (Anwar) tak boleh jadi perdana menteri.
“Disebabkan Zahid ada masalah peribadi, Anwar dah lama nak jadi perdana menteri dan dua-dua ini ada tujuan yang tersendiri, maka soal ideologi, perjuangan bangsa, agama, negara diketepikan,” katanya.