Berita Utama

PAS mohon maaf pada Presiden Gerakan

Bantahan berterusan timbulkan ketidakharmonian dalam PN

BANGI, 17 Muharam 1445H, Jumaat – PAS memohon maaf kepada Datuk Dr Dominic Lau atas insiden ‘tidak mengalu-alukan’ Presiden Gerakan itu di Majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri Presiden PAS baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau percaya kehadiran Dominic perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

Sebagai salah sebuah rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), yang mana Dominic sendiri merupakan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) – Presiden Gerakan itu sewajarnya diberikan penghormatan yang layak dan munasabah, katanya.

Jelas Takiyuddin, PAS amat sedar dan maklum bahawa politik gabungan cenderung untuk menimbulkan rasa tidak puas hati, kecewa dan sebagainya.

Ini terutamanya dalam isu-isu berkaitan pembahagian kerusi atau pemilihan calon bagi sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

“Dalam konteks pemilihan Dr Dominic sebagai calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan kerusi majoriti Melayu, PAS sedar sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan beliau.

“Namun PAS juga percaya apabila keputusan mengenainya dibuat dengan persetujuan kepimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat yang ditetapkan.

“Maka ahli dan penyokong perlu menerimanya dengan hati terbuka selain meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai oleh Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Justeru, Takiyuddin menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Presiden PAS sendiri.

“Dalam suasana politik semasa yang dicemari oleh naratif cauvinis dan melampau, maka sebagai sebuah parti Islam, tertua dan besar, PAS percaya kita bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana.

“… malah turut bertanggungjawab untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak-pihak yang memerlukannya,” katanya.

Pada 1 Ogos, video tular menunjukkan seorang pemimpin PAS tempatan tidak mengalu-alukan kedatangan Dominic ke ceramah PAS di Sungai Dua dan memintanya beredar.

Dominic, bagaimanapun, kemudiannya menafikan bahawa beliau diminta meninggalkan ceramah itu.

Dominic berkata, walaupun benar Gerakan tidak dijemput menghadiri ceramah tersebut, beliau pastinya tidak diminta keluar.

“Saya berada di sana untuk berjumpa Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang tetapi kerana acara itu berjalan lambat, saya tidak dapat bercakap dengannya dan pergi,” kata Dominic.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button