Berita Utama

PRN: Penganalisis ramal 76 peratus ahli PH sokong calon BN

Peluang tawan 3 negeri sukar kerana sokongan pada PN masih kuat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Muharam 1445H, Jumaat – “Ya benar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditolak sebahagian ahli yang menyokong sesetengah pemimpin UMNO yang sudah dipecat atau digantung keahlian mereka. 

“Tapi yang tolak Zahid ini adalah minoriti,” demikian kata penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali.

Ekoran itu, beliau yakin penolakan ahli UMNO terhadap Ahmad Zahid tidak akan terlalu menjejaskan undi terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos nanti.

Malah, jangkaan BN gagal memenangi kerusi ditandingi juga bakal meleset kerana hakikatnya BN memperoleh kelebihan setelah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kali ini.

Dalam kajiannya di Selangor, beliau berkata bahawa peratusan ahli UMNO yang menolak PH adalah 17 peratus sahaja. 

Manakala sesetengah kawasan majoriti Melayu di Selangor, misalnya di Tanjong Karang dan Sabak Bernam, kira-kira  25 hingga 30 peratus ahli UMNO menyatakan tidak menerima PH. 

“Tetapi yang menyatakan sokongan pada gabungan BN-PH adalah 56 peratus. Sementara di Kedah, lebih kurang 60 peratus ahli UMNO menyokong gabungan BN-PH. Yang selebihnya menolak atau pun tidak menunjukkan sikap,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Berdasarkan dapatan itu, Dr Mazlan melihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini BN akan mampu untuk memenangi kerusi kerana sudah pasti undi PH akan berpihak kepada BN. 

Tambahan pula, katanya, menerusi kajiannya didapati peratusan ahli dan penyokong parti PH juga adalah lebih tinggi menyokong gabungan PH-BN. 

“Yang menyatakan akan menyokong calon BN dalam pilihan raya ini adalah 76 peratus purata ahli PH. 

“Dan ini adalah satu mesej bahawa BN mungkin boleh mengekalkan kerusi yang ditandingi kerana kalau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mereka bertanding tiga penjuru, iaitu BN, PH dan Perikatan Nasional (PN). 

“Perpecahan undi itulah yang menyebabkan UMNO telah hilang banyak kerusi dan BN hanya menang 30 kerusi sahaja. Dan sekiranya mereka (BN-PH) bergabung kemungkinan undi mereka bertambah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa peluang UMNO untuk menguasai negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah agak sukar kerana pengaruh PN di ketiga-tiga negeri ini masih kuat. 

“Tetapi sekurang-kurangnya di Terengganu dan di Kedah UMNO berpeluang untuk merapatkan jurang dengan PAS. 

“Cuma UMNO perlu bekerja lebih keras lagi kerana di negeri pantai timur dan utara pengaruh gelombang hijau masih kuat. Walaupun tidak sekuat pada PRU15 yang lalu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button