Kes Iki Putra sempitkan kuasa mahkamah syariah setiap negeri
Kesalahan judi, zina dan arak bakal tertakluk bawah kuasa Persekutuan

BANGI, 18 Muharam 1445H, Sabtu – Majlis Ulama ISMA (MUIS) bimbang terhadap kesan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarak sekiranya pihak mencabar diberikan kemenangan.
Pengerusinya, Datuk Zamri Hashim berkata, ini membawa maksud pihak berkuasa negeri tidak boleh menggubal undang-undang jenayah syariah seperti kesalahan berjudi, minum arak, berzina kerana undang-undang berkaitan jenayah dikatakan sebagai kuasa Persekutuan.
Maka, undang-undang jenayah syariah yang sedang terpakai di setiap negeri ketika ini adalah disifatkan tidak berperlembagaan dan tidak terpakai, katanya.
“MUIS berpandangan situasi ini telah menyentuh kuasa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) para sultan sebagai ketua agama negeri dan akan menyempitkan kuasa mahkamah-mahkamah syariah di setiap negeri.
“MUIS mencadangkan agar Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang di setiap negeri dan Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri dapat memberi gambaran yang tepat dan menyembah nasihat yang sewajarnya berkaitan isu ini kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Zamri berkata, pihaknya yakin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang juga mantan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sedar akan perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya demi kelangsungan undang-undang syariah di Malaysia.
“MUIS menggesa semua umat Islam merentas apa jua ideologi politik, kumpulan dan semua NGO Islam melupakan perbezaan sesama sendiri dan segera bersatu padu demi memperjuangkan keabsahan undang-undang jenayah syariah yang sedia terpakai di setiap negeri dalam negara ini,” katanya.
Sebelum ini, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.
Namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, dia mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.
Difahamkan, kes Iki Putra akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos ini bagi mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah.
Pautan terdahulu;
Perlu pinda Perlembagaan demi selamatkan undang-undang syariah