Rakyat Bahrain kecam perbuatan bakar al-Quran di Sweden, Denmark
Penunjuk perasaan laung slogan sokong Islam, kutuk jenayah hina agama

MANAMA, 18 Muharam 1445H, Sabtu – Rakyat Bahrain mengadakan protes mengecam perbuatan keji kumpulan anti-Islam yang berterusan mencemarkan al-Quran di Sweden dan Denmark.
Penunjuk perasaan turun ke jalan raya di bandar-bandar utama Bahrain selepas solat Jumaat untuk menyuarakan sokongan mereka terhadap kitab suci umat Islam dan kesucian Islam.
Sambil memegang al-Quran tinggi di tangan mereka, penunjuk perasaan melaungkan slogan menyokong Islam dan mengecam jenayah menghina agama di Barat.
Pada Khamis, di bawah perlindungan polis ahli ‘Danske Patrioter’ — kumpulan ekstremis sayap kanan Denmark dan anti-Islam — meneruskan tindakan mencemarkan al-Quran secara meluas untuk hari keempat berturut-turut di ibu negara Denmark, Copenhagen.
Kumpulan ultranasionalis itu membakar kitab suci umat Islam di hadapan kedutaan Turki, Iraq, Mesir, Arab Saudi, dan Iran sambil melaungkan slogan menentang Islam.
Kumpulan pelampau itu turut menyiarkan secara langsung perbuatan keji berkenaan di akaun Facebooknya.
Dalam kejadian berasingan, seorang wanita Sweden berusia 47 tahun mencemarkan al-Quran di Bromma, di bahagian barat Stockholm pada awal Khamis, di bawah perlindungan penuh polis Sweden.
Perbuatan keji itu telah mencetuskan kemarahan seluruh masyarakat Islam di seluruh dunia.
Susulan perkembangan itu, beberapa negara telah memanggil atau mengusir duta Sweden dan Denmark.
Negara-negara Nordik menyatakan kekesalan terhadap pencemaran al-Quran tetapi mendakwa tidak boleh menghalangnya di bawah undang-undang perlembagaan yang melindungi kebebasan bersuara. – Agensi