Guna aset kerajaan boleh timbul isu salah guna kuasa
Pemimpin politik tak wajar guna kenderaan kerajaan ketika kempen

BANGI, 19 Muharam 1445H, Ahad – Proses demokrasi akan tercalar dan menghakis kepercayaan rakyat apabila hak milik kerajaan digunakan untuk tujuan politik.
Tindakan itu bukan sahaja menimbulkan isu penyalahgunaan kuasa tetapi merosakkan integriti pentadbiran kerajaan, kata Presiden pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.
Beliau berkata, agensi pengguatkuasaan perlu menyiasat dan mengeluarkan garis panduan supaya anggota Kabinet mematuhi pekeliling berhubung penggunaaan aset kerajaan.
“Pemimpin politik wajar mematuhi janji mereka untuk tidak menggunakan kenderaan kerajaan semasa berkempen kerana ini termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan helikopter ketika menghadiri program di Kedah menarik perhatian ramai.
Ramai pihak mempertikai dan mengkritik kerana tindakan Perdana Menteri itu seolah-olah melanggar tatakelola kerajaan.
Mengulas perkara itu, Jais berkata, dalam konteks Kepimpinan Melalui Teladan, Anwar sewajarnya menjadi contoh terbaik kepada anggota Kabinet yang lain tidak menggunakan kenderaan kerajaan untuk tujuan politik dan kepentingan parti.
Atas dasar itu, MCW berharap Anwar membuktikan integriti yang tinggi di bawah kepimpinan Kerajaan Madani.
Jelasnya, ini masa yang sesuai untuk Anwar kotakan janji seorang Perdana Menteri yang sering melaungkan amalan bersih rasuah dan tidak ada salah guna kuasa sebagai anggota Kabinet.