Sebut kes kalimah Allah dikira politikkan isu?
Apa dah jadi jika agama tak boleh diperjuang dalam ruangan politik?

NAMPAKNYA sekarang memang sudah tidak boleh mengkritik ‘blunder’ dan kegagalan terbesar kerajaan mengenai Islam, iaitu isu Kalimah Allah.
Kerana dengan mudah-mudah sahaja akan ditutup dengan labelan ‘mempolitikkan’ isu dan ‘menyentuh’ 3R oleh kerajaan. Memang perkara ini perlu dikritik kerana sehingga kini pelbagai persoalan masih gagal dijawab oleh kerajaan. Lagipun, kenapa jadi salah pula sekarang?
Kerana pihak belah kerajaan juga yang banyak ‘spin’ ikut selera dan saling bercanggah antara satu sama lain di pentas-pentas politik PH-BN sebelum ini.
Semuanya ini telah menimbulkan pelbagai kekeliruan dan sebab itu pelbagai kritikan telah timbul termasuk badan-badan peguam dan majlis-majlis agama.
Apabila sudah ‘terciduk’ dan terlanjur dengan segala percanggahan fakta yang dibuat sendiri oleh pemimpin-pemimpin kerajaan sebelum ini, barulah nak kata tak boleh? Macam budak-budak betul perangai.
Lebih teruk lagi, apa yang boleh dan tak boleh disebut itu hanya terpakai pada mereka-mereka yang berada di sebelah kerajaan sahaja. Yang neutral dan non-partisan pun tidak boleh menegur kerajaan dalam hal agama yang sepenting ini. Apatahlagi pembangkang, terus kena tangkap sahajalah.
Kita berpolitik antara sebab utamanya adalah untuk mendaulat dan memperkukuhkan Islam apatahlagi ianya merupakan tiangseri utama kenegaraan Malaysia.
Jika agama sudah tidak boleh diperjuangkan dalam ruangan politik, apakah sebenarnya kita secara perlahan-lahan dan tanpa sedar sedang ke arah sekularisme?
Apakah ‘Islam sebagai Agama Persekutuan’ hanya akan menjadi catitan tanpa makna dalam Perlembagaan Persekutuan selepas ini?
Apa sudah jadi dengan Malaysia?
Haji Aminuddin Yahaya