30 maut nahas kereta api di Pakistan
Gerabak kereta api tergelincir, sebahagiannya terbalik

KARACHI, 20 Muharam 1445H, Isnin – Sebuah kereta api penumpang tergelincir di selatan Pakistan pada Ahad, membunuh sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan lebih 90 penumpang, lapor AP.
Kira-kira 10 gerabak kereta api penumpang yang menuju ke Rawalpindi tergelincir dan sebahagiannya terbalik berhampiran daerah Nawabshah di wilayah selatan Sindh, kira-kira 275 km (170 batu) dari bandar terbesar di negara itu Karachi.
Televisyen tempatan menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan wanita, kanak-kanak dan penumpang warga emas dari gerabak yang rosak dan terbalik.
Sebahagian daripada mangsa yang cedera terbaring di atas tanah sambil menangis meminta tolong sementara penduduk tempatan memberikan air dan makanan.
Foto AP menunjukkan gerabak kereta api tergelincir berselerak melintasi atau berhampiran landasan.
Pegawai kanan polis Abid Baloch berkata, operasi menyelamat telah selesai dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital.
Kemalangan pada sistem kereta api Pakistan yang reput adalah perkara biasa dan kerajaan selama bertahun-tahun berusaha mendapatkan dana untuk menaik taraf rangkaian kereta api sebagai sebahagian daripada Inisiatif Belt and Road China untuk projek infrastruktur.
Nahas kereta api besar di Sindh pada 2021 mengorbankan 56 orang dan mencederakan lebih 100. – Agensi