BERJASA giat kempen ‘Melayu Turun Undi’, ajak pilih pemimpin wibawa
Rakyat loya pendekatan menghina, budaya politik tak matang

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 20 Muharram 1445H, Isnin – BERJASA giat menggerakkan kempen ‘Melayu Turun Undi’ menjelang minggu akhir sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Presidennya, Haji Zamani Ibrahim berkata, parti itu bukan hanya menyedarkan orang Melayu kepentingan mengundi melalui platform dalam talian, bahkan beberapa pemimpin BERJASA turut turun padang berkongsi pentas dengan calon-calon Perikatan Nasional (PN) dalam menggerakkan kempen berkenaan.
“Saya sendiri telah hadir dan turut berkempen bersama calon-calon PN melalui ceramah, saya dengan jelas mengajak orang ramai turun beramai-ramai untuk keluar mengundi pada hari pembuangan undi nanti.
“Dalam masa berkempen ini, ramai pimpinan BERJASA negeri turut mengiringi calon untuk kempen rumah ke rumah dan mengingatkan supaya keluar beramai-ramai untuk menunaikan kewajiban mengundi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
BERJASA melancarkan kempen ‘Melayu Turun Undi’ pada 27 Julai lalu, bagi menggalakkan orang Melayu keluar mengundi pada pilihan raya dan menunjukkan kesatuan dalam mengangkat pemimpin berwibawa.
Menerusi kempen itu juga, BERJASA akan mengerahkan seluruh ahli parti dan sukarelawan untuk memantau proses demokrasi dalam PRN 2023 dan memastikan semua pihak mengikut peraturan-peraturan pilihan raya yang telah ditetapkan.
Selaras kempen itu, Zamani mengingatkan calon-calon PRN di enam negeri terlibat untuk menghentikan budaya menghina, sebalik terus memberikan data dan fakta yang mampu mendorong pengundi memilik pemimpin berwibawa.
“Saya menasihati calon-calon supaya memberita data, fakta dan maklumat yang mampu menaikkan kehendak orang ramai terutama orang Melayu supaya mengundi dan memilih calon yang berwibawa dan diyakini mampu memacu kecemerlangan dan kemajuan negeri.
“Budaya hina menghina, kecam mengecam atau seumpamanya mesti ditinggalkan, ini adalah kerana rakyat sudah loya dengan pendekatan tersebut malah ianya adalah budaya yang tidak matang,” katanya.