Berita Utama

Calon Gerakan terdesak ‘umpan’ tak haram arak, judi demi raih undi

Parti tiada wawasan bangunkan negara dengan promosi perkara merosakkan

Oleh Ainul Illia Meor Suzuudin

BANGI, 20 Muharam 1445H, Isnin – Kenyataan calon Gerakan, Andrew Ooi bahawa PAS tidak akan mengharamkan aktiviti perjudian atau menyekat penjualan arak di Pulau Pinang jika Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan adalah jaminan terdesak.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman al-Hakim Mohamad kesal apabila Ketua Penerangan Pemuda Gerakan Pulau Pinang itu memanipulasi isu arak dan judi demi mendapat undi masyarakat Cina di Pulau Pinang.

Jaminan sedemikian jelas menunjukkan parti Gerakan tidak memiliki wawasan untuk membangunkan negara, maka tidak hairanlah mereka semakin ditolak masyarakat Cina di Malaysia, katanya.

Lukman berkata, arak dan judi adalah dua kerosakan besar yang telah terbukti merosakkan individu, institusi keluarga dan masyarakat di negara-negara maju lain. 

“Kesannya juga dapat dilihat dengan jelas di negara kita Malaysia. Namun industri ini terus kekal kerana cengkaman kapitalis dan elitis ekonomi yang mengawal ahli politik negara.

“Malah dari segi agama pun, majoriti agama di dunia tidak ‘menghalalkan’ arak dan judi.

“Jadi kenapa mesti kita membenarkan dua perkara ini terus berleluasa di Malaysia. Malah, lebih hina apabila kita menjadikannya sebagai umpan murahan untuk mendapat undi dalam PRN!,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Lukman menegaskan, negara memerlukan pimpinan muda yang segar dengan idea terbaik untuk memajukan negara, bukan menghancurkannya melalui promosi arak dan judi.

“Semua parti-parti Cina di Malaysia harus membangunkan program bersepadu untuk mendidik masyarakat Cina untuk meninggalkan dua kerosakan besar ini secara berperingkat, bermula dengan program rawatan ketagihan contohnya,” katanya.

Terdahulu, portal media tempatan melaporkan calon Gerakan di DUN Paya Terubong, Andrew Ooi memberi jaminan bahawa PAS tidak akan bertindak untuk mengharamkan aktiviti perjudian atau menyekat penjualan arak di negeri itu jika PN menjadi kerajaan selepas 12 Ogos ini.

Beliau berkata, dasar itu akan kekal selagi Gerakan menjadi sebahagian daripada komponen PN dan gabungan itu diberi mandat menjadi kerajaan Pulau Pinang.

“Saya boleh beri jaminan kepada semua orang di sini bahawa selagi Gerakan berada dalam PN, saya boleh memberi jaminan kepada semua, tidak ada pengharaman perjudian atau pengharaman arak di sini,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button