‘Takkan guru besar masuk semua kelas untuk mengajar?’
Kerap turun Kedah, Kelantan, Mohd Amar dakwa Anwar dalam ketakutan

KOTA BHARU, 20 Muharam 1445H, Isnin – Kekerapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Kedah dan Kelantan untuk berkempen mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) dipersoalkan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu mendakwa, tindakan itu menunjukkan seolah-olah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut berada dalam keadaan ketakutan.
Ini kerana, katanya, kerja berkempen pada kebiasaannya akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri berdasarkan kepada sejarah sebelum ini.
“Kita tengok zaman Tun M (Dr Mahathir Mohamad), Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, mereka jarang turun.
“Biasanya Timbalan Perdana Menteri kerap turun. Kalau turun pun, cukuplah sekali Tapi kali ini Perdana Menteri sendiri,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Katanya lagi, tindakan Anwar yang kerap turun ke Kelantan dan Kedah itu menunjukkan kebimbangan beliau tentang peluang PH-BN di dua negeri berkenaan.
“Saya buat contoh begini, kalau kita guru besar, takkan kita nak masuk semua kelas untuk mengajar. Guru besar sepatutnya memantau sahaja dan tindakan masuk kelas mengajar ini satu benda pelik.
“Saya bimbang, tumpu Kelantan dan Kedah, Selangor pula tumbang,” katanya.