Artikel Khas

Tolak pemimpin tak boleh jadi contoh

Terang-terang guna aset kerajaan untuk tujuan kempen parti

DALAM kempen pilihan raya, semua parti yang bertanding, kerajaan sementara peringkat negeri mahupun persekutuan, tidak boleh menggunakan aset Kerajaan, bagi tujuan kempen. Contoh yang selalu disalahgunakan adalah seperti kemudahan kapal terbang, helikopter, kereta dan sebagainya, kepada Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.

Semua kemudahan ini perlu dipulangkan semula kepada rakyat, kerana ia dibeli menggunakan duit rakyat.

Perkara ini telah diperjuangkan oleh Pakatan Harapan (PH) sejak dahulu lagi, terutama ketika menjadi pembangkang. Pemimpin PH lantang mengkritik, jika ada pihak kerajaan (kerajaan sementara) menyalahgunakan kemudahan tersebut.

Kini, apabila mereka memimpin kerajaan, terang-terang menggunakan aset kerajaan, seperti helikopter, semuanya diam membisu. Tidak cukup dengan itu, kuncu-kuncunya turut dibawa bersama.

Buktinya PRN melibatkan enam negeri, meskipun tidak melibatkan Parlimen, peraturan dan norma tetap terpakai. Pemimpin PH ke sana ke mari menggunakan kemudahan yang dibeli daripada wang rakyat.

Apabila ditanya, maka jawapannya, aku naik heli, hang sakit hati pasai apa?

Wahai pemimpinku, ini bukan soal sakit hati atau tidak? Ini soal aset kerajaan, aset rakyat, wajarkah ia digunakan bagi tujuan kempen parti?

Lebih menyakitkan lagi, sudahlah menggunakan aset kerajaan, terang-terang berkempen menyuruh rakyat untuk mengundi mereka.

Tidak habis dengan itu, ucapan-ucapan mereka turut menjanjikan sesuatu jika rakyat memilih mereka. Hairannya, semua pihak diam.

Jika heli itu kepunyaan bapa kamu, kita takkan kata apa, tetapi heli itu hak rakyat.

Jika kalian masih jahil dalam memahami maksud kerajaan sementara, mari kita fahami bersama.

Kerajaan sementara adalah kerajaan yang memerintah sesebuah negara dalam tempoh pilihan raya, iaitu biasanya bermula dari pembubaran Parlimen hingga kepada penubuhan kerajaan baru. Dalam konteks hari ini, berkaitan PRN enam negeri.

Meskipun tidak melibatkan Parlimen, Perdana Menteri dan menteri-menteri kena ingat, mereka berkempen mewakili parti, bukan kerajaan.

Ingat ya, tujuan kerajaan sementara ini adalah untuk mengurangkan risiko salah guna kuasa akibat ketiadaan Parlimen yang mampu melakukan peranan ‘semak dan imbang’ (atau check and balance).

Selain itu ia juga berperanan untuk memastikan pemimpin kerajaan tidak menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen kepartian, serta mengekalkan badan pentadbiran kerajaan sebagai badan yang bebas dari campur tangan politik.

Menurut amalan tradisi (conventions) di negara-negara Komanwel yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, terdapat beberapa perkara yang mesti dielakkan oleh pemerintah dalam tempoh kerajaan sementara. Amalan tradisi ini diungkap secara bertulis dalam Guidance on Caretaker Conventions yang dikeluarkan oleh kerajaan Australia.

Selain itu, garis panduan itu juga menyenaraikan perkara-perkara yang berbentuk kempen, yang boleh menjejaskan sifat adil dan berkecuali bagi sesebuah kerajaan demokratik.

Antaranya termasuklah, pengiklanan dan kempen penerangan. Kempen yang menonjolkan peranan Perdana Menteri atau mana-mana menteri, serta iklan atau kempen penerangan yang berkaitan dengan slogan kepartian perlu dihentikan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

Internet dan komunikasi elektronik: Media internet milik kerajaan hanya menyiarkan maklumat pentadbiran bukannya untuk menyokong mana-mana parti.

Penggunaan premis kerajaan: Parti kerajaan dan parti pembangkang diberikan ruang sama rata untuk menggunakan premis kerajaan bagi tujuan kempen, mengadakan sidang media dan seumpamanya. Lawatan menteri ke pejabat-pejabat agensi kerajaan hanya terhad untuk urusan rutin pentadbiran, bukan untuk tujuan politik. (Muhammad Fathi Yusof et al 2017)

Inilah perkara yang diperjuangkan oleh PH ketika menjadi pembangkang. Ironinya, hari ini apa yang diperjuangkan dahulu, semuanya dilanggar apabila mereka menerajui kerajaan.

Orang lain buat, semua tidak boleh, bukan main lagi dikritik. Bila tiba masa dia, boleh belaka. Ibarat meludah ke langit, terkena muka sendiri atau menjilat ludah sendiri.

Adakah ini sesuatu yang Islamik? Kamu semua ini ada latar belakang Islam, cakap pasal Islam bukan main lagi, tetapi kenapa cakap tak serupa bikin?

Mengatakan paku dulang paku serpih, mengatakan orang, dia pun lebih.
Pemimpin hari ini sudah tidak dapat dicontohi lagi. Mereka tidak layak memimpin.
Seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Pemimpin sebegini tidak boleh lagi diberikan peluang untuk memimpin. Mereka mesti dijatuhkan, sebab tidak lagi boleh dipercayai. Ini belum ditambah lagi dengan kelakuan mereka yang selalu berbohong, menipu rakyat.

Sudah sampai masanya, rakyat buka mata. Rakyat mesti bangkit untuk ajar pemimpin sebegini.

Pertama, tolak pemimpin yang cakap tidak serupa bikin. Menyalahgunakan harta rakyat. Masa jadi pembangkang cakap lain, bila menerajui kerajaan buat ikut suka hati. Mana boleh ada pemimpin sebegini.

Kedua, tolak pemimpin yang ada penyakit suka berbohong. Pemimpin sepatutnya menjadi teladan, bukan sebaliknya.

Ketiga, tolak pemimpin yang bersubahat dengan penyamun dan perompak. Masa jadi pembangkang menolak, penyamun dan perompak. Bila menerajui kerajaan penyamun dan perompak itulah yang dibela.

Keempat, tolak pemimpin yang bersekongkol dengan perasuah. Masa jadi pembangkang mereka kata rasuah haram. Bila mereka menjadi pemerintah, rasuah jadi halal.

Kelima, tolak pemimpin yang pro LGBT, seperti mengalu-alukan Kumpulan Coldplay, the 1975 dan sebagainya

Keenam, tolak pemimpin yang bersifat munafik, kejap kata macam itu, kejap kata maca mini. Siang kata lain, malam kata lain.

Ketujuh, tolak pemimpin yang menggalakkan maksiat. Menyuburkan budaya hedonism.

Kelapan, tolak pemimpin yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai menguruskan ekonomi negara.

Insaflah wahai pemimpin negaraku. Bertaubatlah sebelum terlambat. Rakyat sedang melihat kamu. Rakyat akan ajar kamu tidak lama lagi.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button