Kempen PRN kurang menyengat, tak semeriah 10-20 tahun dulu
Suasana di markas pun dah berbeza, sekarang jadi tempat jentera parti simpan barang

MESKIPUN berbaki beberapa hari lagi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN), namun kemeriahan berkempen dilihat tidak menyerlah seperti musim pilihan raya sebelum ini.
Mungkin ‘kurang’ ceramah fizikal juga mempengaruhi dan nampak tiada ‘wow’ dalam tempoh berkempen PRN di enam negeri kali ini.
Malah, bendera juga dilihat tidak menyerlah, yang banyak bendera merah sahaja mewakili Pakatan Harapan (PH), namun bendera Perikatan Nasional (PN) kelihatan tenggelam.
Kalau ada pun hanya yang ‘recycle’ sahaja digantung semula memenuhi kawasan strategik seperti persimpangan jalan dan jalan-jalan utama, tapi banyaknya lompong.
Jika di sekitar Bandar Baru Bangi dan Ampang, hanya bendera merah memenuhi jalan manakala bendera PN pula seperti boleh dikira.
Kalau musim dahulu, usai pengumuman calon dibuat berduyun-duyun markas, akan wujud, itu belum lagi dengan pemasangan bendera dan poster daripada jentera yang bekerja siang dan malam demi memenangkan parti pilihan mereka.
Di markas pula beroperasi 24 jam sehingga ada yang menjadi ‘jaga’ untuk memantau kawasan markas.
Kini suasana itu seperti tidak wujud apabila markas kini hanya dijadikan tempat untuk jentera parti menyimpan bahan-bahan seperti bendera dan poster.
Penulis terkenang kempen sebelum ini yang sangat meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong.
Masing-masing akan bersemangat seolah-olah musim berkempen itu menyerupai pesta dan majlis hari raya, siri ceramah pula bersusun sehingga detik 12 malam sehari sebelum hari pengundian.
Kini disebabkan teknologi, kempen jarang dilakukan secara fizikal dan bersemuka semuanya secara TikTok, Facebook dan mudah dicapai dihujung jari sahaja dan semua maklumat boleh disebar secara mudah dan cepat.
Dari sudut kepantasan, ia sangat membantu namun tiada kemeriahan lagi dan keterujaan untuk berhimpun dan bekerja secara berkumpulan.
Mengulas perubahan itu, penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussein berkata, kecanggihan teknologi menyebabkan kempen PRN kini tidak sama seperti 10 dan 20 tahun lalu.
Katanya, kemeriahan yang dilalui musim pilihan raya kini seolah-olah semakin tawar dan tiada nilai lagi.
“Jika dahulu kempen seperti pesta yang disambut lima tahun sekali dan semua pengundi akan bergotong royong berganding bahu menyiapkan keperluan termasuk mencari buluh dijadikan bahan untuk mengibar bendera dan poster.
“Itulah kemeriahan sebenar yang boleh dilihat lima tahun sekali.
“Berkempen dari rumah ke rumah juga sangat meriah dan dilakukan secara muhibah dan aman.
“tetapi suasana itu semakin pupus di bandar besar ini dan jika ada pun hanya di kawasan perkampungan yang masih menerusakan amalan tersebut,” katanya.
Begitu juga dengan ketiadaan bendera semua dipercayai akibat tiada dana disebabkan pembekuan akaun Bersatu yang mempunyai kaitan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan COVID-19.
Mungkin inilah penyumbang kekangan besar menjadikan bendera dan poster PN tidak dinaikkan.
Situasi itu menyebabkan calon PN perlu mencari dana sendiri dan peruntukan peribadi untuk membuat tempahan poster dan bendera.
“Keadaan ini menyebabkan calon terpaksa mengeluarkan dana sendiri, jadi itu yang membuatkan bendera dan poster tidak seimbang, wujud kelompongan.
“Bagi yang berkemampuan mereka mampu menempah yang baru, itu juga menyebabkan ada bendera yang lusuh dipasang semula,” katanya sambil menjelaskan sebelum ini parti yang mengeluarkan dana untuk semua perbelanjaan Pilihan raya.
Sewajarnya pada musim pilihan raya kewangan parti perlu dicair bagi memudahkan urusan sepanjang pilihan raya ini.
Ia bukan sahaja memberi keadilan kepada 9.7 juta pengundi untuk menunaikan tanggungjawab tetapi juga calon boleh bertanding secara sihat tanpa ada agenda tertentu.
Penulis bersetuju dengan Dr Ahmad Atory bahawa berilah peluang kepada rakyat untuk memilih dan menilai pemimpin mana yang boleh mereka angkat menjadi wakil kepadanya dan mampu mentadbir negara.
Semoga tiada agenda dan permainan seperti ini berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti, sebaliknya berilah peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan mencari pemimpin yang terbaik untuk membela dan membangunan negara.
Zuhayati Yazid
Wartawan Ismaweb