Sentimen tak pecah undi mampu kembalikan DAP ke kerusi pembangkang
Selamatkan Selangor, nak bentuk kerajaan negeri hanya perlu 29 kerusi

BANGI, 21 Muharam 1445H, Selasa – Rakyat Selangor mampu menghantar DAP kembali ke kerusi pembangkang sekiranya mereka sepakat tidak pecah undi pada Sabtu ini.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, PRN Selangor adalah peluang keemasan bagi orang Melayu dan bukan Melayu berfikiran sederhana untuk melihat satu perubahan politik yang besar berlaku dalam negara.
Menurutnya, kira-kira 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai majoriti pengundi Melayu Bumiputera melebihi 60 peratus, bahkan di negeri itu juga ramai bukan Melayu yang berfikiran sederhana dan tidak suka kepada DAP.
“Untuk membentuk kerajaan negeri Selangor hanya 29 kerusi diperlukan. Inilah masanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.
Beliau yakin perubahan boleh dilakukan sekiranya pengundi Melayu dan bukan Melayu berfikiran sederhana keluar beramai-ramai, umpama semut yang keluar daripada sarangnya secara senyap tapi penuh tekad dengan peratusan keluar semaksimum mungkin.
“Beri keutamaan kepada usaha keluar mengundi. Anggap ia satu tanggungjawab paling penting
“Semua yang mengundi jangan sekali pecah undi sebaliknya ‘consolidate’ setiap undi kepada satu parti sahaja iaitu undilah Perikatan Nasional semua sekali, tanpa mengira apa keahlian parti kita. Undi tetap rahsia.
“Bila ini kita lakukan, insya-Allah kita berjaya menghantar DAP kembali ke kerusi pembangkang di DUN Selangor dan selamatkan Selangor dari turut diperintah DAP setelah mereka sudah pun menjadi kerajaan di Pusat angkara individu tertentu yang mementingkan dirinya,” katanya.
Katanya lagi, ia sekali gus menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat tetap bersatu padu, tidak boleh ‘divide and rule’ demi mempertahankan hak dan maruah di tanah air khususnya di Selangor.
“Malah inilah yang perlu kita lakukan bersama di semua negeri, insya-Allah,” katanya.