Berita Utama

BERJASA desak semua Majlis Agama Islam jadi pencelah kes Nik Elin

Cabar keabsahan perundangan syariah tindakan tersusun musuh Islam

BANGI, 21 Muharam 1445H, Selasa – BERJASA mendesak semua Majlis Agama Islam dan pihak berkuasa negeri menjadi pencelah dalam isu cabaran terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasya Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan negeri itu.

Naib Presidennya, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim turut menggesa semua Ahli Parlimen beragama Islam bersatu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah terutamanya untuk mengelakkan kes-kes seperti ini berlaku lagi.

Beliau percaya, kes Nik Elin dan dan Iki Putra Mubarak yang mencabar keabsahan sistem perundangan syariah adalah tindakan tersusun daripada pihak yang memusuhi Islam untuk melemahkan undang-undang Islam.

“Sebelum ini kes transgender yang mencabar Enakmen Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan 1992 juga cuba membawa naratif yang sama.

“Cuba bayangkan jika Nik Elin pula menang kes ini, maka ia bakal menjadi tambahan kes rujukan bagi mencabar semua enakmen jenayah di negeri-negeri di Malaysia dan bakal menyebabkan negeri-negeri tidak lagi mempunyai kuasa menggubal undang-undang jenayah syariah.

“Ini tidak dapat dinafikan bila mana Mahkamah Persekutuan sudah pun membenarkan Iki Putra mencabar undang-undang jenayah syariah pada tahun 2021. Semua ini dikhuatiri boleh mengakibatkan seluruh sistem jenayah Islam lumpuh satu persatu,” katanya.

Muhammad Lukman menegaskan, jika perkara itu tidak dibendung, Mahkamah Syariah akan kehilangan kuasa untuk memutuskan kesalahan terhadap orang Islam.

Kesan daripada itu, beliau berkata, pada akhirnya masyarakat rosak ekoran tiada penguatkuasaan undang-undang yang mampu membanteras kesalahan syariah seperti ajaran sesat, persenda al-Quran, judi dan zina.

“Umat Islam di negara ini telah kehilangan banyak tanah, hasil bumi dan pelbagai jenis kekayaan.

“Jika undang-undang syariah ini turut hilang, dikhuatiri apa lagi yang tinggal untuk umat Islam dan bangsa Melayu di bumi tercinta milik kita sendiri ini,” katanya.

Sebelum ini, seorang peguam kelahiran Kelantan dan anaknya mengemukakan cabaran Perlembagaan berhubung lebih 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1).

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mendakwa lebih 20 peruntukan berkenaan adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Justeru, mereka menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan peruntukan terbabit batal dan tidak sah.

21 peruntukan yang dicabar tersebut termasuk:

1. Seksyen 5 (dakwaan palsu);

2. Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat);

3. Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya);

4. Seksyen 14 (liwat);

5. Seksyen 15 (hukuman liwat);

6. Seksyen 16 (seks dengan mayat);

7. Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia);

8. Seksyen 30 (kata-kata yang boleh memecah keamanan);

9. Seksyen 31 (gangguan seksual)

10. Seksyen 34 (memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu)

11. Seksyen 36 (apa-apa yang mengkhayalkan);

12. Seksyen 37 (berjudi);

13. Seksyen 39 (mengurangkan ukuran, sukatan, dan timbangan);

14. Seksyen 40 (melakukan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak);

15. Seksyen 41 (melakukan transaksi muamalat secara riba dll.);

16. Seksyen 42 (penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal);

17. Seksyen 43 (menawar atau memberi perkhidmatan maksiat);

18. Seksyen 44 (perbuatan sebagai persediaan untuk menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat);

19. Seksyen 45 (perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan maksiat);

20. Seksyen 47 (sumbang mahram);

21. Seksyen 48 (muncikari);

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button