Ketua Pembangkang jamin kerajaan PN akan adil pada semua kaum
Hamzah kecam cara Anwar jawab soalan pelajar matrikulasi

SEPANG, 21 Muharam 1445H, Selasa – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi jaminan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) akan berlaku adil kepada semua kaum di negara ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada video tular seorang pelajar perempuan yang mengajukan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bila kerajaan akan menghapuskan sistem kuota kaum untuk memasuki institusi pengajian tinggi, ketika program di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, sabtu lalu.
Anwar menjawab bahawa terdapat kontrak sosial yang perlu diteliti dan sistem meritokrasi tidak selalunya ideal kerana terdapat ramai orang kurang bernasib baik dalam pengambilan itu.
Anwar kemudiannya menegaskan bahawa permohonan daripada semua orang yang berpencapaian tinggi akan dipertimbangkan untuk mendapat tempat.
Beliau juga berkata, jika sistem kuota itu ditarik balik serta-merta, mereka (Pakatan Harapan) akan kalah dalam semua pilihan raya, dan gadis itu akan lebih menderita dalam sebuah negara yang dikendalikan oleh PAS dan Bersatu.
Hamzah, yang mengecam cara Anwar menjawab berkata, gadis itu tidak perlu takut atau bimbang jika PN menang.
“Jika PN menang, kita akan pastikan rakyat semua kaum dilayan secara adil.
“Perjuangan kita adalah satu perjuangan yang adil. Ia adalah negara majoriti Melayu tetapi kita tidak mahu memecahbelahkan rakyat,” katanya seperti dilapor The Star.
Beliau berkata demikian semasa ucapan kempen di Kampung Labu Lanjut di Sepang, Selangor, malam tadi.