Berita Utama

Tak mungkin Kerajaan Pusat berubah meski PN menang 6 negeri: Penganalisis

Kecuali jika UMNO ubah sokongan 30 kerusi MP secara 'en bloc'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Muharram 1445H, Selasa – Mustahil untuk berlaku perubahan kepada Kerajaan Persekutuan, meskipun Perikatan Nasional (PN) mendominasi semua negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, dominasi PN pada PRN berkemungkinan besar tidak akan membawa kesan kepada pertukaran Kerajaan Pusat atas dua faktor utama.

Ini membabitkan Akta Lompat Parti yang tidak memungkinkan ahli-ahli Parlimen berbuat demikian sehingga menjejaskan sokongan kerajaan, selain mengambil kira sokongan blok Sabah dan Sarawak.

“Tetapi benda yang boleh berlaku di dalam PRN, barangkali akan memberi impak terbesar kepada UMNO (sekiranya parti itu kalah di banyak kerusi Dewan Undangan Negeri).

“Kalau UMNO ini terimpak, maka jika ada tekanan daripada UMNO kepada Zahid Hamidi (Presiden UMNO) dan katakanlah worst case scenario Zahid jatuh dari UMNO, maka UMNO boleh melompat 30 kerusi ke PN,” katanya kepada Ismaweb.net.

Sekiranya situasi itu berlaku, Mujibu berkata, ada kemungkinan untuk Kerajaan Persekutuan berubah, memandangkan perubahan sokongan secara ‘en bloc’ atau bersama keseluruhan dibolehkan.

“Jadi bila itu berlaku, maka bolehlah (kerajaan) tumbang. Cuma sejauh mana pula hal-hal yang terkait UMNO boleh jadi sebegitu. 

“Dan tentulah perlu ambil kira Sabah, Sarawak sama ada nak ikut atau tidak. Tetapi saya secara peribadi saya rasa boleh ikut kerana mereka merasakan siapa juga jadi kerajaan tiada masalah, yang penting negeri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau masih menegaskan bahawa sukar dan hampir mustahil untuk berlaku perubahan di peringkat Pusat sekiranya PN mendominasi enam negeri PRN.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa akan berlaku perubahan dalam Kerajaan Persekutuan sekiranya PN memenangi kesemua enam negeri PRN. 

Ketika berucap pada satu majlis di Sendayan, Negeri Sembilan, Abdul Hadi berkata, adalah penting bagi rakyat untuk menunjukkan sokongan dengan memastikan kemenangan calon PN yang bertanding dalam PRN.

Berita berkaitan;

Anwar bingung Abdul Hadi sangka Kerajaan Pusat boleh berubah lepas keputusan PRN

Anwar bingung Abdul Hadi sangka Kerajaan Pusat boleh berubah lepas keputusan PRN

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button