UMNO jamin tak sokong perkara ancam Islam, Melayu
Kerjasama BN-PH tak gadai maruah bangsa tapi demi urus negara: Tok Mat

BANGI, 21 Muharam 1445H, Selasa – UMNO memberi jaminan tidak akan menyokong perkara yang mampu menggugat atau memberi ancaman kepada agama Islam dan bangsa Melayu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi keyakinan kepada semua masyarakat supaya tidak bimbang berhubung perkara berkenaan berikutan setiap perubahan tidak dilakukan dengan mudah tetapi perlu kelulusan Kabinet.
“Adakah orang Melayu terancam, penjawat awam berstatus kontrak yang dibuang kerja semasa lapan bulan ini? Tidak ada, jangan risau.
“Sebelum apa-apa mahu dilakukan kepada perubahan sebarang dasar ataupun rang undang-undang mesti dapat kelulusan Kabinet.
“Saya boleh jamin jika ada apa-apa yang akan menggugat agama, bangsa tidak akan kami (UMNO) sokong dalam Kabinet.
“Ini semua momokan, dakyah mengelirukan kita… modal perkauman, agama,” katanya.
Pada masa sama, beliau menafikan parti tersebut menggadaikan maruah sebaliknya menjelaskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dibuat bagi mengurus negara dan demi masa depan.
“Tidak benar mengatakan UMNO menggadai maruah, kami tidak menggadai maruah,” tegasnya.