Berita Utama

64 laporan polis berkait kempen PRN di Selangor

270 kempen, ceramah berpermit direkodkan setakat semalam

BANGI, 22 Muharram 1445H, Rabu – Sebanyak 64 laporan polis diterima dengan lima kertas siasatan setakat semalam, berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di seluruh Selangor.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan berkata, siasatan membabitkan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Ini juga termasuk Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

“Manakala sebanyak 48 laporan polis lagi, diklasifikasikan sebagai NOD (No Offence Disclosed) iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada berlakunya apa-apa kesalahan dan tangkapan.

“Repot polis ini merupakan repot yang dibuat oleh Team Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan Ops Cantas PRN Selangor di lokasi-lokasi yang dijalankan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, empat laporan lain diklasifikasikan sebagai Refer Other Report (ROR), empat lagi sebagai No Further Action (NFA) dan tiga laporan diklasifikasikan Refer Other Agency (ROA).

Mohd Zaini berkata, bagi memastikan setiap kempen dan ceramah yang dijalankan mematuhi undang-undang ditetapkan, polis membuat pemantauan di setiap kempen atau ceramah di negeri itu setiap hari.

Setakat semalam, terdapat sebanyak 191 kempen berpermit, sebanyak 79 ceramah berpermit serta satu kempen tanpa permit dengan jumlah keseluruhan adalah 271.

“Semua calon parti diingatkan supaya tidak menyentuh isu-isu 3R (agama, bangsa, raja) semasa berkempen.

“Jika mana-mana calon parti tidak mematuhi peraturan ini, ianya boleh disiasat bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button