Aib kedua terbesar selepas 1MDB jika kes Zahid digugurkan
Pelbagai cubaan lengah, henti kes rasuah babit Presiden UMNO sejak 2018

BANGI, 22 Muharram 1445H, Rabu – Kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi aib kedua terbesar buat negara selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jika 47 pertuduhan rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri itu digugurkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, melihat senario kerajaan semasa, jangkaan 47 pertuduhan kes rasuah Ahmad Zahid digugurkan berkemungkinan boleh berlaku, sekali gus menjadikannya sebagai sejarah hitam buat Malaysia.
Beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku susulan laporan media berhubung Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran digugurkan daripada kes berkenaan.
“Sejak 2018, pelbagai cubaan untuk melengahkan dan menghentikan kes rasuah dan jenayah yang melibatkan Presiden UMNO ini.
“Beliau begitu terdesak sehingga sebelum ini pernah meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri TG Haji Abdul Hadi campur tangan untuk menggugurkan kes beliau.
“Semestinya permohonan ini ditolak. Zahid juga tidak dilantik memegang sebarang jawatan di dalam kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Berbeza dengan era pemerintahan kerajaan Madani, Khairil berkata, Ahmad Zahid dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Katanya, Ahmad Zahid turut diberikan semula pasport antarabangsa dan diplomatik secara kekal, selain dikekalkan sebagai Presiden UMNO walaupun melanggar perlembagaan parti.
“Zahid dapat menangguhkan perbicaraan 47 kes rasuah dan jenayah beliau. Apa yang menarik ialah pada Januari 2023, Zahid telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan 47 pertuduhan yang dihadapinya.
“Dan terbaru, status Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang telah mengajukan soalan bertalu-talu kepada Zahid semasa perbicaraan kes sebelum ini, menjadi tanda tanya ramai pihak sama ada beliau telah disingkirkan atau telah diganti,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Jerantut itu, amat malang buat Malaysia sekiranya benar Raja Rozela telah disingkirkan daripada pasukan pendakwaan.
“Ketiak ditanya oleh wartawan NST berkenaan status Raja Rozela, salah seorang peguam dalam pasukan pendakwaan hanya berkata, saya tidak dapat pastikan sama ada Raja Rozela dibuang secara kekal daripada kes itu.
“Bukankah memang menjadi tugas pasukan pendakwa raya untuk melaksanakan pendakwaan berdasarkan lunas undang-undang?,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar akan menggantikan Raja Rozela bagi mengetuai pasukan pendakwaan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ia berikutan permohonan Raja Rozela untuk bersara awal pada 3 April lalu telah diluluskan dan berkuatkuasa pada 1 November depan.