Annuar dakwa jajaran baru UMNO, PKR-DAP dirancang rapi 2 tahun sebelum PRU15
Usaha jatuhkan PM8, PM9 dan hentikan Muafakat Nasional separuh jalan

BANGI, 22 Muharram 1445H, Rabu – Tan Sri Annuar Musa mendakwa pakatan antara UMNO, PKR dan DAP untuk membuat jajaran baharu bagi mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bukan berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tetapi sejak 0gos 2020.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu mendakwa, jajaran baharu itu dirancang rapi dua tahun sebelum PRU15 untuk mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri dan DAP sebahagian daripada kerajaan dengan pertolongan UMNO.
Beliau mendakwa, jajaran itu juga membabitkan usaha menjatuhkan dan menyekat Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, termasuk menghentikan Muafakat Nasional separuh jalan.
Perkara itu didedahkan Annuar susulan merujuk ceramah pemimpin bahagian kononnya UMNO berunding dengan DAP selepas PRU15 iaitu pada 15 November 2022, untuk membentuk kerajaan dan meletakkan syarat-syarat tertentu termasuk perkara dalam Perlembagaan.
“Penceramah ini mereka-reka sendiri dari imaginasinya, untuk mencari naratif menghalalkan tindakan mengangkat DAP jadi kerajaan yang kini dibenci rakyat.
“Dewan Tertinggi BN hingga hari ini tidak pernah ‘endorsed’ tindakan ini. Penceramah seperti ini hanya menelan bulat-bulat cereka presiden mereka walhal fakta sebenar sudah pun diketahui rakyat seluruhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, jajaran baharu yang dijayakan adalah demi mencapai cita-cita seorang individu menjadi Perdana Menteri dan menyelamatkan ‘tengkuk’ individu lainnya.
“Ada mutual interest walau terpaksa menggadai prinsip dan dasar parti serta menjadikan parti ditolak rakyat.
“Pada masa ini usaha terakhir sedang dibuat untuk menyempurnakan janji awal komplot jajaran baharu iaitu untuk mensucikan individu tersebut. Usahlah direka fakta,” katanya.