Imran Khan hilang kelayakan tanding pilihan raya selama lima tahun
Dakwa pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sebagai agenda politik

ISLAMABAD, 22 Muharam 1445H, Rabu – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dilarang bertanding pilihan raya dan memegang jawatan awam selama lima tahun.
Larangan itu dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya tiga hari selepas Imran dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun berikutan rasuah yang dilakukan.
Situasi berkenaan turut memberi kesan kepada pemimpin berusia 70 tahun itu dilucutkan jawatan sebagai Ahli parlimen.
Beliau bagaimanapun menyifatkan pertuduhan yang dikenakan sebagai agenda politik tetapi dinafikan pihak berkuasa.
Menteri Penerangan dan Penyiaran Pakistan, Marriyum Aurangzeb berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu bertanggungjawab di atas perbuatan dan bersedia berdepan undang-undang.
“Ini tidak ada kaitan dengan politik. Seseorang yang telah dibuktikan bersalah oleh mahkamah perlu ditangkap,” katanya kepada BBC.
Imran yang dipilih pemimpin Pakistan pada 2018, digulingkan dalam undi tidak percaya, tahun lalu.
Sabtu lalu, Mahkamah Pakistan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun ke atas Imran kerana atas tuduhan secara haram menjual hadiah yang diberikan kepada negara ketika menjadi Perdana Menteri dari 2018 hingga 2022.
Mengikut prosedur, mahkamah perlu mengakui petisyen itu serta menetapkan pendengaran bagi memulakan prosiding rasmi berhubung alasan yang digariskan peguam Khan bagi membatalkan sabitan terbabit.
Sementara itu pasukan peguam akan mencabar keputusan dan akan didengar di Mahkamah Tinggi Islamabad, hari ini.
Terdahulu bekas pemimpin itu ditahan di penjara berhampiran Islamabad. – Agensi