Parlimen India bahas usul undi tak percaya terhadap kerajaan Modi
Pembangkang paksa respon PM isu konflik etnik di timur Manipur

NEW DELHI, 22 Muharram 1445H, Rabu – Parlimen India membahaskan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi pada Selasa, sehari selepas ketua pembangkang, Rahul Gandhi kembali ke dewan.
Parti Kongres pembangkang melancarkan perdebatan dalam usaha memaksa respon Modi mengenai konflik etnik yang menyebabkan kematian di timur laut Manipur, dengan undian dijangka diadakan Khamis ini.
Sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh di Manipur sejak Mei dalam pertempuran bersenjata antara majoriti Meitei yang beragama Hindu dan komuniti Kuki yang kebanyakannya penganut Kristian.
Tentera dikerah dari bahagian lain di India untuk membendung keganasan dan menguatkuasa perintah berkurung serta penutupan internet kekal dilaksanakan di kebanyakan negeri.
Menteri kerajaan, Kiren Rijiju berkata, usul undi tidak percaya dibawa pembangkang pada masa tidak tepat dan mendakwa Parti Kongres akan menyesal dengan tindakan berkenaan.
Parti Nasionalis Hindu Bharatiya Janata (BJP) yang dipimpin Modi memenangi 303 daripada 543 kerusi dewan rakyat dalam pilihan raya 2019 dan dijangka selesa mengalahkan undi tidak percaya itu.
Gandhi – keturunan dinasti politik utama India – telah kembali ke Parlimen pada Isnin selepas Mahkamah Agung minggu lalu menggantung tugasnya atas sabitan fitnah kerana mengkritik Modi.- Agensi