Sokongan kaum India pada PN di Selangor meningkat 15 peratus
Gagal urus pencerobohan hutan, kewujudan kilang haram antara punca rakyat tolak PH-BN

BANGI, 23 Muharam 1445H, Khamis – Perikatan Nasional (PN) Selangor yakin mampu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini susulan penambahan sokongan kaum India di negeri tersebut.
Malah, kajian lapangan PN di beberapa lokasi terpilih speperti seperti Sungai Panjang, Paya Jaras dan Pelabuhan Klang menunjukkan peningkatan sokongan kaum India sebanyak 15 peratus.
Kajian menunjukkan sokongan kaum Melayu kekal mencatatkan peratusan tertinggi sehingga 70 peratus, manakala sokongan kaum Cina melebihi lima peratus, kata Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.
“Dengan jumlah pakej rangsangan sebanyak RM2 bilion dengan 112 tawaran 25 pendekatan dan tujuh tunjang, PN telah menerima maklum balas positif daripada rakyat Selangor secara umumnya,” katanya.
Manakala penolakan terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didasari isu-isu berkaitan pencemaran sungai, pengurusan buangan logistik yang lemah, kewujudan kilang haram dan pencerobohan hutan.
Isu itu didakwa menjadi faktor ‘trust deficit’ rakyat terhadap PH dan BN di Selangor.
Pada masa sama, Roslan menjangkakan sebanyak 29 kerusi bakal ditawan termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang ditandingi Menteri Besar Selangor.
Katanya, PN juga yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Sijangkang, Selat Kelang dan Gombak selain menawan Hulu Kelang, Sungai Ramal, Kuala Kubu Bharu dan Batu Tiga.
Justeru, beliau merayu kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira lapisan umur, kelas ekonomi dan kaum menjalankan tanggungjawab dengan keluar mengundi beramai-ramai pada 12 Ogos ini.