Berita Utama

Zahid optimis BN-PH menang 23 kerusi DUN Kelantan

Tekad beri tawaran pada rakyat Kelantan, bukan main politik seperti kerajaan negeri sedia ada

BANGI, 23 Muharam 1445H, Khamis – UMNO optimis gabungan perpaduan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh kemenangan di Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan mendapat sekurang-kurang 23 kerusi DUN.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat Kelantan kini mula celik serta menolak fahaman politik ekstrem dan radikal yang akhirnya akan memecahbelah ukhwah sesama Islam itu sendiri.

“Semalam saya melihat semangat Gelombang Biru 2.0 di Kelantan ketika hadir memeriahkan Himpunan Jentera dan Penyokong BN-PH Pasir Puteh, Kelantan dengan kehadiran yang begitu ramai dan di luar jangkaan.

“Saya optimis bahawa gabungan perpaduan BN-PH akan memperoleh kemenangan di Kelantan dengan mendapat sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, buat masa ini gelombang perubahan yang berlaku Kelantan semakin positif.

Katanya, sekiranya pembentukan Kerajaan Perpaduan berlaku di Kelantan, pastinya perkara utama yang akan dilakukan adalah menangani isu bekalan air bersih dan menghapuskan tunggakan bil air.

Malah, beliau menjanjikan akan mewujudkan sebuah Kolej Universiti Tahfiz Al-Quran dan Sains dengan menyasarkan 20,000 peluang pekerjaan baharu.

“Tawaran BN-PH kepada rakyat Kelantan adalah tekad kita, bukan untuk bermain politik seperti Kerajaan Negeri sedia ada.

“Berilah ruang dan peluang kepada kami untuk memimpin negeri ini, Insya-Allah,” katanya.

BN akan bertanding di 31 kerusi DUN Kelantan pada PRN yang bakal diadakan lusa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button